Lompat ke PKR tak seserius lompat ke PN - Khalid

Fauzi Suhaimi
Februari 28, 2021 18:47 MYT
Khalid tidak menolak tindakan tersebut mempunyai kaitan dengan perbincangan atau rundingan tertentu termasuk tawaran bertanding kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu keluar dan memasuki PKR tidak seserius berbanding jika mereka menyertai Perikatan Nasional (PN).
Katanya, menyertai PN jauh lebih serius kerana ia boleh dianggap sebagai mengkhianati mandat rakyat yang diberikan kepada mereka pada PRU14 yang lalu.
Bagaimanapun katanya, tindakan itu masih mengkhianati tanggungjawab yang diberikan kepada mereka untuk mewakili kepentingan dan perjuangan parti.
"ADUN Amanah yang melompat dan menyertai PKR adalah 'tidak serius' kerana mereka boleh berhujah atas dasar Pakatan Harapan (PH).
"Jadi, mereka tidak mengkhianati mandat yang diberikan rakyat selagi mana tidak keluar daripada PH.
"Kalau ada khianat pun, ia hanyalah khianat daripada sudut tanggungjawab parti yang telah beri kepadanya untuk mewakili kepentingan dan perjuangan parti yang ada dalam gabungan PH," katanya menerusi segmen Fokus Minggu Depan dalam Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Menurutnya, perkara itu juga merupakan bala daripada budaya politik khianat yang diperkenalkan sejak perubahan politik negara tahun lalu susulan 'Langkah Sheraton'.
Sebelum ini, lima ADUN Amanah termasuk tiga dari Johor bertindak keluar parti dan berhasrat untuk menyertai PKR.
Mereka masing-masing ialah ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan serta ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.
Selain tiga ADUN dari Johor, turut didakwa bertindak keluar parti adalah dua ADUN dari Selangor.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam turut menyifatkan tindakan ADUN berkenaan adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.
Namun begitu, katanya, beliau tidak menolak tindakan tersebut mempunyai kaitan dengan perbincangan atau rundingan tertentu termasuk tawaran bertanding kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"(Perkara) itu mesti ada (sebarang bentuk) perjanjian atau rundingan yang dibuat sebelum melompat (parti) dan secara logik atau rasionalnya, mustahil seseorang memilih untuk melompat parti tanpa ada sebarang rundingan.
"Kalau itu yang berlaku dan dikehendaki mereka, maka kita ucap selamat berjaya dan maju jaya. Yang pening ini adalah pengajaran buat kami untuk memilih calon yang akan bersama PH dan tetap bersama Amanah dalam PRU-15 kelak," ujarnya lagi.
#Khalid Samad #Pakatan Harapan #PKR #shah alam #Parlimen #pilihan raya #politik #Amanah #calon #pilihan raya umum #Parti Amanah Negara #ADUN #Khairuddin
;