Lokman Adam pertahan tindakan kasar terhadap pelajar UM
Astro Awani
Mac 22, 2019 21:59 MYT
Mac 22, 2019 21:59 MYT
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mempertahankan tindakan beliau dan beberapa penyokong Datuk Seri Najib Razak yang bertindak kasar terhadap tujuh pelajar di hadapan Restoran Amjal berhampiran Universiti Malaya (UM) pada Jumaat petang.
Jelas Lokman, beliau bertindak merampas dan mengoyak poster yang dipegang sekumpulan pelajar tersebut kerana ia adalah gambar pemimpinnya.
"Saya tidak akan merampas poster tersebut jika beliau mempamerkan gambar Lim Guan Eng dengan terowongnya kerana itu gambar pemimpin mereka.
"Namun, sekiranya mereka mempamerkan gambar jelek pemimpin kami, kami tidak akan mendiamkan diri.
"Kenapa tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap pelajar terbabit sama seperti tiada tindakan diambil ketika banner provokasi dengan gambar Datin Seri Rosmah digantung ketika hari mengundi di Semenyih?
"Adakah penguatkuasaan undang-undang hanya dilaksanakan ke atas penyokong Barisan Nasional dan PAS? Manakala kebebasan mutlak untuk melanggar undang-undang diberikan kepada Penyokong Pakatan Harapan? Inilah rule of llaw acuan Malaysia Baru DAP?" katanya dalam satu kenyataan.
Lokman menjelaskan jika pelajar tersebut tidak menggunakan placard dan karikatur wajah badut Najib, beliau akan membiarkan sahaja pelajar-pelajar tersebut menggunakan hak mereka untuk berhimpun.
"Namun, bacullah kami jika membiarkan bangsa DAP yang biadap ini meneruskan kebiadapan mereka terhadap pemimpin kami," katanya lagi.
Beliau juga mendakwa pelajar-pelajar tersebut sepatutnya bersyukur kerana beberapa pemimpin UMNO berada di tempat kejadian dan menghalang dari dipukul orang ramai yang marah dengan kebiadapan mereka.
Program Najib bersama pelajar UM di Restoran Amjal pada Jumaat dicemari dengan insiden pergelutan antara penyokongnya dengan pelajar UM.
#karikatur wajah badut Najib
#Lokman Noor Adam
#Malaysia Baru DAP
#Najib Razak
#pelajar
#provokasi
#Restoran Amjal
#UMNO
#universiti malaya