Lokasi Debat Perdana Anwar-Najib di MATIC

Afiezy Azaman
Mei 6, 2022 09:20 MYT
Astro AWANI akan menyiarkan debat itu secara langsung di semua platformnya pada 12 Mei nanti.
KUALA LUMPUR: Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) di ibu negara dipilih sebagai lokasi penganjuran debat Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan, pejabat bekas Perdana Menteri dan pejabat Presiden PKR itu memaklumkan kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat berkaitan lokasi penganjuran debat yang berlangsung pada 9 malam, 12 Mei ini.
"Debat Perdana ini akan disiarkan secara langsung oleh media rasmi melalui saluran televisyen dan media sosial yang akan diumumkan kemudian.
"Kedua-dua pihak turut berharap Debat Perdana ini akan berlangsung dengan sempurna minggu hadapan," kata kenyataan itu, pada Jumaat.
Anwar dan Najib sebelum ini telah menyatakan persetujuan untuk berdebat mengenai isu keperluan untuk menyelamatkan syarikat minyak dan gas kedua terbesar di dunia, SEB yang ketika ini mengalami krisis kewangan yang teruk.
SEB yang juga sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilaporkan mencatat kerugian sebanyak RM8.9 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022.
Astro AWANI akan menyiarkan debat itu secara langsung di semua platformnya pada 12 Mei nanti.
#Anwar Ibrahim #Najib Razak #debat
;