Logo roket lebih dekat di hati pengundi DAP Sarawak - Kelvin Yii

Nuzuluddin Abdul Razak
Oktober 24, 2022 23:00 MYT
Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata keputusan itu dibuat sebulat suara serta melambangkan arah tuju parti itu yang bertunjangkan suara rakyat yang ditentukan oleh kepimpinan DAP Sarawak sendiri. - Astro AWANI
KUCHING: Keputusan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menggunakan lambang roket untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah di atas dasar autonomi yang diberikan Pakatan Harapan (PH) kepada DAP Sarawak dan Sabah.
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata keputusan itu dibuat sebulat suara serta melambangkan arah tuju parti itu yang bertunjangkan suara rakyat yang ditentukan oleh kepimpinan DAP Sarawak sendiri.
“DAP Sarawak telah diberikan autonomi tertentu untuk membuat keputusan dan ini sangat penting, kami sebagai rakyat Sarawak lebih memahami kehendak rakyat tempatan dengan lebih baik dan ini akan memastikan sesebuah keputusan atau arah tuju parti di Sarawak ini masih ditentukan oleh rakyat tempatan.
“Jika kamu perasan semalam, pencalonan saya diumumkan oleh Chong Chieng Jen bukannya melalui Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, kerana DAP Sarawak telah diberikan autonomi untuk membuat keputusan berkenaan pencalonan, perbincangan kerusi termasuklah penggunaan logo,” katanya kepada pemberita selepas majlis ringkas pertemuan bersama belia undi 18 di sini pada Isnin.
Jelas penyandang kerusi Parlimen Bandar Kuching itu lagi, penggunaan logo DAP akan membawakan imej perjuangan yang lebih jelas dan mudah dikenali oleh pengundi di setiap kawasan Parlimen yang akan ditandingi DAP Sarawak kali ini.
“Perkara ini sudah dibincangkan dengan semua parti komponen PH, dan ia bukan semata-semata atas dasar autonomi, penggunaan logo DAP juga disebabkan pembubaran parlimen diluar jangkaan maka kami (DAP Sarawak) merasakan pengundi di kawasan yang kami tandingi akan lebih mengenali logo DAP.
“Ini tidak bermakna logo PH tidak akan memberikan kesan mendalam, malah kami mempercayai PH, ini adalah keputusan yang dibuat oleh kepimpinan DAP Sarawak, dan kami percaya rakyat yang tinggal di kawasan kami lebih mengenali logo roket terutama pada pilihan raya kali ini,” ujarnya lanjut.
Selain DAP Sabah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dan Amanah turut sama akan menggunakan lambang PH dalam PRU15.
DAP Sarawak yang menggunakan lambang roket sejak PRU14 itu akan bertanding di lapan daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu iaitu di Stampin, Bandar Kuching, Mas Gading, Serian, Sibu, Lanang, Bintulu dan Sarikei.
#DAP Sarawak #logo Roket #PRU15 #Dr Kelvin Yii Lee Wuen
;