Logo rasmi Pakatan Harapan: RoS belum beri maklum balas

Hafiz Marzukhi
Ogos 10, 2017 16:55 MYT
MAHATHIR: Setakat ini, Pakatan Harapan peringkat negeri sudah tertubuh di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
Pakatan Harapan masih lagi menunggu maklum balas dari Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengenai logo rasmi gabungan parti tersebut.
Presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kelulusan dari RoS itu perlu supaya mereka dapat bersiap sedia untuk keperluan gabungan tersebut pada pilihan raya akan datang.
"Kami masih menunggu respons daripada mereka (RoS) mengenai logo kami.
"Ini penting untuk kami sediakan bendera dan sepanduk menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti," kata beliau.
Dr Mahathir berkata demikian dalam satu sidang media bersama pimpinan Pakatan Harapan selepas Mesyuarat Majlis Presiden di Pejabat Ketua Pembangkang yang terletak di Bangunan Parlimen pada petang tadi.
Selain itu, Dr Mahathir turut memaklumkan Pakatan Harapan di semua negeri akan ditubuhkan dalam masa dua minggu lagi.
"Setakat ini, Pakatan Harapan peringkat negeri sudah tertubuh di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
"Dalam masa dua minggu lagi, Pakatan Harapan di peringkat negeri lain akan ditubuhkan," katanya.
#Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #pilihan raya #pilihan raya umum #PRU14 #ros
;