Lirik lagu Najwa Mahiaddin gambaran suara generasi baharu - Kit Siang
Hamzah Hamid
Ogos 7, 2015 15:34 MYT
Ogos 7, 2015 15:34 MYT
Penasihat DAP menyifatkan lirik lagu 'After The Rain' nyanyian anak bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai gambaran suara generasi baharu yang mahukan perubahan politik di negara ini.
Lim Kit Siang memetik lagu dendangan Najwa Mahiaddin sewaktu berucap dalam majlis Jamuan Raya Gerakan Harapan Baru (GHB) di Taman Universiti di sini hari ini.
"(Daripada lirik lagu itu) nasihat saya adalah kita perlu berjuang dan hidup bukan untuk seorang, satu kaum atau satu agama, tetapi untuk selamatkan Malaysia," ujarnya yang berharap agar Muhyiddin mendengar lagu nyanyian anaknya itu.
Tambahnya, baris lirik 'after the rain comes the sun' (akan muncul sinar mentari selepas hujan) boleh dikatakan merujuk kepada situasi politik semasa, khususnya selepas Muhyiddin digugurkan daripada Kabinet.
"Selepas hujan ini kita menunggu 'ribut'. Setelah itu, kita rela dan berani untuk berdiri demi selamatkan bukan saja Muhyiddin, bukan sahaja UMNO, tetapi Malaysia," katanya.
Perkara tersebut, katanya, merupakan perjuangan yang mahu dibawakan Pakatan Rakyat dan juga GHB yang mahu membentuk sebuah parti baharu.
"Jika ditubuhkan, masa sudah tiba untuk Pakatan Rakyat yg baharu untuk membawa Johor dan Malaysia kepada satu perubahan," tegasnya.
Selain ahli jawatankuasa pusat GHB dan wakil-wakil pemimpin pembangkang negeri, majlis tersebut turut dihadiri beberapa tokoh profesional Johor.