Liow seru komuniti Cina beri sokongan padu pada MCA

Bernama
Mac 25, 2017 06:53 MYT
LIOW: Beri sokongan kepada MCA untuk bawa isu kaum Cina ke peringkat tertinggi.
MCA sekali lagi menyeru komuniti Cina agar memberi sokongan padu kepadanya bagi membolehkan isu-isu dihadapi kaum itu dapat diselesaikan segera di peringkat atasan.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kekalahan parti itu semasa pilihan raya umum (PRU) yang lepas, menyebabkan isu-isu yang membelenggu kaum Cina tidak dapat dibawa ke peringkat tersebut.
"Saya seru masyarakat Cina untuk memberi sokongan kepada wakil MCA semasa PRU akan datang supaya kami dapat mewakili mereka di peringkat kerajaan.
"Sekali gus dapat membantu selesaikan masalah yang dihadapi mereka," katanya kepada media di Karnival Jom, Teguh Bersama, di Titi dekat sini pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Pemuda MCA kebangsaan Datuk Chong Sin Woon, Pengerusi MCA negeri Datuk Seri King Lim Chin Fui dan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun.
Liow, yang juga Menteri Pengangkutan berkata kaum Cina kini sudah sedar wakil rakyat yang dipilih mereka semasa PRU lepas, tidak memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk mereka.
Sementara itu, Liow berkata Karnival Jom Teguh Bersama itu merupakan julung kali diadakan di negeri ini.
"Karnival ini akan menjelajah ke seluruh negara dan bertujuan membolehkan rakyat tempatan tahu program MCA yang mendatangkan banyak manfaat kepada ahli dan komuniti.
"Di MCA, kita ada lebih 20 program yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat seperti Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Tunku Abdul Rahman dan Koperasi Jayadiri Malaysia (Kojadi)," katanya.
-- BERNAMA
#kaum cina #kerajaan #Liow Tiong Lai #MCA #pilihan raya #pilihan raya umum #rakyat
;