Lima lagi Exco Perak angkat sumpah petang ini - Annuar Zaini
Abd Razak Mohd Ali
Disember 15, 2020 13:34 MYT
Disember 15, 2020 13:34 MYT
IPOH: Lima lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak petang ini.
Majlis akan berlangsung di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini pada pukul 5 petang nanti.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin telah berkenan istiadat itu diadakan selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.
Menurutnya, Saarani memohon perkenan Baginda agar istiadat itu dapat dilangsungkan memandangkan Dewan Negeri akan bersidang pada Rabu.
“Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad memohon perkenan Tuanku untuk melangsungkan istiadat mengangkat sumpah lima lagi Exco memandangkan esok akan berlangsung sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Memahami keadaan itu, Tuanku memperkenankan majlis angkat sumpah itu dilangsungkan petang ini. Dalam suasana pandemik COVID-19, Tuanku turut perkenankan majlis itu diadakan seringkas mungkin,” katanya.
Beliau ditemui di pekarangan Istana Kinta hari ini selepas majlis menghadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, pertemuan itu berlangsung kira-kira 45 minit dan bermula jam 11 pagi tadi.
Selain itu, bagi memastikan penjarakan fizikal, petugas media juga tidak dibenarkan membuat liputan majlis angkat sumpah lima Exco berkenaan.
Tambah beliau, istiadat itu akan dilangsungkan dengan kehadiran Saarani; Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Suaidi Abdul Rahim.
BACA JUGA: [LAPOR LANGSUNG]: Saarani MB baharu Perak
Pada 10 Disember lalu, Saarani mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14.
Ini disusuli dengan lima Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Perak yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.
Mereka merupakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO dan seorang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mewakili UMNO adalah ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampong Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota).
Sementara mewakili Bersatu pula adalah ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Beliau ditemui di pekarangan Istana Kinta selepas majlis menghadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
#politik perak
#Annuar Zaini
#Sultan Perak
#Menteri Besar
#ADUN
#Exco
#Kuala Kangsar
#UMNO
#PPBM
#COVID-19
#pandemik
#Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
#politik
#Ahli Dewan Negara Perak