Lim Kit Siang tetap mahu bersara, tolak jawatan 'mentor DAP'

Astro Awani
April 13, 2022 11:26 MYT
Lim Kit Siang menolak tawaran untuk menjadi mentor parti itu dan menegaskan pendiriannya untuk bersara daripada arena politik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Veteran DAP, Lim Kit Siang menolak tawaran untuk menjadi “mentor” parti itu dan menegaskan pendiriannya untuk bersara daripada arena politik.
Kit Siang, 81, berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu yang telah berkecimpung selama 56 tahun dan menjadi antara pengasas DAP berkata, beliau akan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan baharu.
"Saya berterima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang baharu dan Setiausaha Agung DAP yang mencadangkan saya menjadi ‘mentor DAP’.
“Sebagai orang yang bekerja keras dalam DAP dan menghabiskan 56 tahun hidup saya untuk memajukan perjuangan DAP, saya sentiasa bersedia memberikan pandangan dan nasihat mengenai masa depan Malaysia serta hala tuju baharu DAP
"Bagaimanapun, tiada keperluan untuk sebarang jawatan dan oleh itu saya menolak cadangan CEC untuk menjadi mentor DAP," demikian katanya ketika berucap pada majlis makan malam yang dianjurkan oleh pemimpin DAP malam tadi.
BACA: Lim Kit Siang umum bersara dari arena politik
Jelas Kit Siang lagi, beliau tidak dapat bersara daripada politik secara sepenuhnya “kerana politik mempengaruhi setiap aspek kehidupan seseorang”.
"Apabila saya mengumumkan persaraan politik saya di kongres DAP pada 20 Mac 2022, ia adalah persaraan daripada pemilihan parti dan pemilihan kepimpinan, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)," tambahnya.
Dalam ucapan sama, Kit Siang turut menyentuh mengenai kerjaya politiknya dan tohmahan terhadap DAP yang dituduh sebagai parti anti-Melayu, anti-Islam dan komunis.
“Ini adalah kuasa propaganda negatif, berita palsu dan dakwaan palsu, tetapi melainkan kita dapat mencari jawapan kepada momokan itu, Malaysia tidak akan pernah mencapai potensinya untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia.
"DAP tidak pernah menentang mana-mana kaum atau agama kerana ini bertentangan dengan kepercayaan asas kita bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang majmuk dan berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya," ujarnya lagi.
Kit Siang berada dalam CEC sejak 1966 ketika mula menjadi Setiausaha Penganjur Kebangsaan dan seterusnya memegang jawatan Setiausaha Agung selama 30 tahun dari 1969.
#Lim Kit Siang #Kit Siang bersara #Parti DAP #Politik Malaysia
;