'Lian Ker, jangan perlekeh cara politik KJ' - Ibdilillah
Wan Syamsul Amly
September 11, 2016 08:00 MYT
September 11, 2016 08:00 MYT
Tindakan Datuk Seri Ti Lian Ker yang memperlekehkan cara berpolitik Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin disifatkan langkah tidak sedar diri Ahli Jawatankuasa Pusat MCA itu sendiri.
Exco Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, ia sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap keikhlasan Lian Ker dalam setiakawan Barisan Nasional (BN).
"Suka saya mengingatkan bahawa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, UMNO merupakan penyumbang terbesar kepada kemenangan BN dan seterusnya membolehkan pembentukan Kerajaan.
"Kemenangan BN pada PRU yang lalu adalah daripada sokongan padu dan mandat pengundi-pengundi di desa dan luar bandar.
"Hakikatnya, tanpa sokongan padu rakyat luar bandar (khususnya orang Melayu), BN tidak mungkin dapat membentuk Kerajaan Persekutuan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Ibdilillah mengulas kenyataan Lian Ker yang mengenai UMNO di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta kenyataannya yang menyentuh cara politik Khairy.
Lian Ker turut menyatakan strategi UMNO tidak berkesan serta cara lama dan tidak diterima oleh kaum lain, khususnya masyarakat Cina.
Dalam pada itu Ibdilillah turut mempersoalkan tindakan Lian Ker yang memperlekehkan keikhlasan Khairy dalam perjuangan demi memastikan nasib orang di desa dan luar bandar terbela.
" Seperti yang ditegaskan Khairy, Pemuda UMNO tidak kisah mengamalkan gaya politik yang selesa dengan kehendak orang luar bandar.
"Politik kekampungan tidak bermakna mengamalkan budaya perkauman dan mengabaikan nasib rakyat kaum lain.
"Khairy sentiasa mengingatkan kepada kami dalam Pemuda untuk mengamalkan politik khidmat bakti," ujarnya.
Dalam pada itu, Ibdilillah turut meminta Lian Ker untuk kembali kepada semangat setiakawan dalam BN.
"Peganglah kepada prinsip kebersamaan kerana disebabkan faktor inilah yang memungkinkan BN menang di setiap PRU.
"Musuh utama kita adalah DAP dan sekutunya. Sebaiknya kita sama-sama fokus kepada persiapan dan gerak kerja menuju PRU ke-14," jelasnya.
Sementara itu, Ibdilillah juga mahu bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mengingati kembali faktor kemenangannya pada PRU ke-11 di Parlimen Merbok.
"Bukankah kemenangan anda didukung oleh pengundi-pengundi Merbok? Pada PRU ke-11, tahun 2004, apakah pendekatan kempen politik yang digunakan ketika bertanding di Parlimen Merbok?
"Adakah anda menidakkan kebijaksanaan pengundi-pengundi Parlimen Merbok yang pada ketika itu memastikan kemenangan besar? Kemenangan anda pada ketika itu adalah disebabkan sokongan padu rakyat kepada BN," tegasnya.
Ibdilillah berkata demikian semasa mengulas catatan terbaharu blog ZamKata bertajuk "Jawapan Oxford Khairy Jamaluddin" yang menyindir Khairy terhadap kenyataan Lian Ker.
Zainuddin turut mempersoalkan Khairy sebagai salah seorang berkelulusan Oxford yang dikatakan mengamalkan gaya 'politik kampung'.
Ibdilillah turut menasihati Zainuddin agar tidak bermain politik murahan.
"Jika mahu dilihat relevan kepada orang muda masa kini, keluarlah dari persaraan dan bertanding pada PRU ke-14," katanya.
#Ibdilillah
#Khairy Jamaluddin
#Lian Ker
#MCA
#PRU
#taktik politik kuno
#tidak diterima kaum lain
#UMNO