'Lepas PRN pun tiada kerja lain, asyik provokasi orang', kata Aminuddin kepada Peja

Ridauddin Daud
Ogos 13, 2023 15:16 MYT
Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cadangan daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu hanya untuk tujuan provokasi terutamanya akar umbi parti.
SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menempelak kenyataan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mencadangkan jawatan Menteri Besar negeri itu diserahkan kepada Barisan Nasional (BN).
Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cadangan daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu hanya untuk tujuan provokasi terutamanya akar umbi parti.
“Itu cadangan dia. Semua berpandangan begitu supaya kita berpecah belah, tidak saling hormat-menghormati dan dia tahu perkara itu akan provokasi ahli-ahli kita di peringkat bawah.
“Saya rasa itu kerja dia sebagai pembangkang, nak provokasi orang. Perpaduan yang kita buat, kita wujudkan ini cuba dipermainkan.
BACA: PRN: PH perlu berlapang dada, serah kerusi MB kepada Jalaluddin - Peja
“Itu kerja dialah, bukan saja ketika pilihan raya, lepas pilihan raya pun tiada kerja lain, nak provokasi orang, itulah kerja dia. Itulah Timbalan Presiden Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di Seremban pada Ahad.
Astro AWANI pada Ahad melaporkan Ahmad Faizal mencadangkan jawatan Menteri Besar negeri itu diserahkan kepada Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, UMNO mendapat kerusi terbanyak di negeri tersebut dan seharusnya Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri itu diangkat sebagai Menteri Besar atas dasar kejayaan mereka.
Tambah Ahmad Faizal, itulah semangat perpaduan yang dicanangkan oleh PH dan Barisan Nasional (BN).
#Aminuddin Harun #Ahmad Faizal Azumu #UMNO #PRN #PRN Negeri Sembilan
;