Lembaga Disiplin UMNO perlu ambil tindakan terhadap Ku Li - Nazri

Irwan Muhammad Zain
Mei 5, 2022 13:20 MYT
Mohamed Nazri kecewa dengan sikap tidak tegas Lembaga Disiplin UMNO terhadap apa yang dilakukan Tengku Razaleigh. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin UMNO perlu mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang masih tidak mengikut keputusan parti menyokong kerajaan hari ini yang diterajui UMNO, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Mohamed Nazri menegaskan, lembaga disiplin itu juga perlu tegas dan mengambil tindakan terhadap apa yang dilakukan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Li.
Tegas beliau, UMNO telah membuat keputusan untuk menyokong kerajaan sedia ada namun Tengku Razaleigh memilih untuk kekal berada di blok Bebas.
"Surat dia (Tengku Razaleigh) kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat sudah cukup sebenarnya untuk kita mengambil tindakan terhadap dia, sebab dia tidak lagi menyokong kerajaan hari ini yang mana perdana menterinya daripada UMNO, melawan lah tu namanya.
"Itu masalah kita, kita takut untuk mengambil tindakan, ambil sahaja tindakan tidak kira siapa yang membuat kesalahan.
"Kita tengok dalam keadaan tertentu senang sahaja Lembaga Disiplin UMNO buang orang tertentu, tetapi bila kena pada Tengku Razaleigh, Lembaga Dsiplin UMNO takut nak ambil tindakan.
"Ini menyebabkan orang hilang keyakinan kepada UMNO. kena tegas lah. Apabila dia menulis surat kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat meminta untuk ubah kerusi dia (ke blok Bebas), itu satu kenyataan bahawa dia tidak lagi bersama dengan kita (UMNO). Itu saja," katanya kepada Astro AWANI.
BACA: Ku Li mula langkah rampas Kelantan, ketuai Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan
Pada 27 Julai tahun lalu, Tengku Razaleigh Hamzah memohon untuk menukar tempat duduk dalam Dewan Rakyat ke blok bebas.
Perkara itu dinyatakan dalam surat rasmi yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertarikh 26 Julai 2021.
Tengku Razaleigh juga kini dilaporkan akan mengetuai gabungan kerjasama yang dinamakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan dalam usaha menumbangkan kerajaan Pas pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15)
Bagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob menegaskan tindakan Tengku Razaleigh itu bersifat peribadi yang tidak mewakili UMNO Kelantan.
Malah Jazlan juga memaklumkan kepada media, tindakan Tengku Razaleigh itu akan dirujuk kepada pimpinan tertinggi UMNO.
#Mohamed Nazri Abdul Aziz #UMNO #Padang Rengas #Tengku Razaleigh Hamzah #Gua Musang #Lembaga Disiplin UMNO #tindakan
;