Lee Chin Chen dipilih Pengerusi DAP Pahang baharu

Bernama
September 2, 2024 23:11 MYT
Menurut Lee, beliau bersama jawatankuasa kepimpinan baharu akan terus komited terhadap pembangunan negeri dan berusaha untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti itu. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Lee Chin Chen dipilih sebagai Pengerusi DAP Pahang berkuat kuasa semalam.
Lantikan itu diputuskan pada Persidangan Konvensyen Biasa DAP negeri semalam bagi menggantikan pemimpin veteran parti itu, Datuk Leong Ngah Ngah yang menjadi Pengerusi DAP Pahang sejak 2015.
Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut menerusi kenyataan hari ini menzahirkan penghargaan kepada Leong atas sumbangan selama beberapa dekad kepada DAP Pahang.
Menurut Lee, beliau bersama jawatankuasa kepimpinan baharu akan terus komited terhadap pembangunan negeri dan berusaha untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti itu.
Beliau berkata Kerajaan Perpaduan berhadapan cabaran yang tidak boleh dipandang remeh terutamanya dalam konteks parti-parti dengan ideologi dan gaya kepimpinan yang berbeza bekerjasama dalam pentadbiran.
"Pengalaman dua tahun kebelakangan ini membuktikan model Kerajaan Perpaduan membawa hasil positif.
"Ia bukan sahaja memberikan kestabilan kepada negara, malah memacu transformasi ekonomi serta berjaya menangkis serangan perkauman dan ekstremisme agama," katanya.
Jawatankuasa baharu itu turut dianggotai bekas calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14, M. Manogaran sebagai Timbalan Pengerusi, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman bersama ADUN Mentakab Woo Chee Wan selaku Naib Pengerusi.
-- BERNAMA
#Kerajaan Perpaduan #DAP #Pakatan Harapan #ADUN