Lee Chee Leong calon MCA bagi Parlimen Kampar

Shafiq Noordin
Januari 14, 2018 17:55 MYT
Liow (kanan) bersama dari kiri, Pengerusi MCA Perak Datuk Dr Mah Hang Soon, Daniel Wa, Chang dan Lee pada majlis di Kampar hari ini, 14 Jan, 2018. - Astro AWANI
MCA akan meletakkan Naib Presidennya Datuk Senator Lee Chee Leong untuk bertanding di kerusi Parlimen Kampar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen itu pula akan ditandingi oleh Timbalan Ketua Bahagian MCA Kampar, Chang Gwo Chyang (Malim Nawar) dan Setiausaha Bahagian, Daniel Wa Wai How (Keranji).
Mengumumkan perkara itu, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia merupakan cadangan parti itu tetapi keputusan muktamad akan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).
"Kita akan tentukan di peringkat BN untuk dimaklumkan oleh Perdana Menteri," katanya pada satu majlis makan tengah hari bersama badan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.
Menurut Liow, beliau mempunyai keyakinan penuh ketiga-tiga calon itu mampu membuat kejutan dan merampas semula kerusi Parlimen serta DUN itu yang ketika ini dipegang oleh DAP.
Katanya, ketiga-tiga mereka juga telah memulakan kerja untuk memenangi hati rakyat di kawasan itu sejak tiga tahun lalu.
"Saya telah arahkan mereka buat kerja mulai sekarang. Saya arahkan mereka agar bekerja keras untuk pastikan kita dapat sokongan terbaik daripada penduduk kawasan Kampar," tambahnya.
Pada PRU lalu, Lee yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan ketika ini, kalah dengan majoriti 5,400 kepada calon DAP, Dr Ko Chung Sen, untuk kerusi Parlimen Kampar.
Chang dan Daniel Wa turut kalah, masing-masing dengan majoriti 4,343 dan 5,561, kepada calon DAP di kerusi sama.
#Barisan Nasional #Chang Gwo Chyang #Daniel Wa Wai #Kampar #Lee Chee Leong #Liow Tiong Lai #MCA #Parlimen #PRU14
;