Lebih ramai bekas pemimpin DAP dijangka sertai Warisan P. Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 24, 2022 14:18 MYT
Januari 24, 2022 14:18 MYT
GEORGE TOWN: Lebih ramai pemimpin DAP Pulau Pinang akan menyertai Parti Warisan (Warisan) di negeri itu.
Pengesahan itu dibuat Koordinator Warisan Pulau Pinang, Jeff Ooi Chuan Aun, yang mendakwa penyertaan mereka bersama golongan profesional yang lain akan mengukuhkan kedudukan parti Warisan di negeri itu.
Menurutnya, pengumuman rasmi mengenai penyertaan itu akan dibuat dalam masa terdekat.
Jeff Ooi yang juga bekas Ahli Parlimen Jelutong berkata, kewujudan Warisan di negeri itu, bukanlah semata-mata mahu menarik ahli DAP, sebaliknya mahu bergerak lebih jauh melangkaui pengaruh parti tersebut.
Jelasnya, penyertaan golongan muda pula adalah antara syarat yang ditetapkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
"Ramai lagi akan diperkenalkan, satu demi satu Untuk hari ini kita kenalkan Martin. (Lebih) banyak 'Martin' akan muncul, banyak 'Danny Law' akan muncul, banyak 'Jeff Ooi' akan muncul.
"Tetapi tumpuan kita bukan setakat hanya mahu terima bekas ahli DAP. Kita hendak berkembang lebih besar dari itu. Kita nak merentas semua pelosok landskap politik, terutamanya Pulau Pinang kerana kita lebih kenal keadaan fizikal keadaan emosi di Pulau Pinang ini.
"Sudah pasti kita akan melihat penyertaan tokoh politik serta tokoh korporat anak muda profesional," ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kedudukan Warisan, beliau berkata, pihaknya perlu menguasai kesemua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 Parlimen sebagai syarat untuk berkuasa di peringkat Pusat.
Sehubungan itu, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik pada PRU15 akan datang.
Beliau berkata demikian pada sidang media di George Town pada Isnin.
Hadir sama, dua ahli Warisan, Datuk Danny Law Heng Kiang dan Martin Lim.
Danny Law bekas ahli DAP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang dan Exco Pelancongan Kerajaan Pulau Pinang menyertai Warisan selepas mengumumkan keluar parti DAP minggu lepas.