Lebih lima calon berhasrat tanding dua jawatan tertinggi UMNO - Ketua UMNO Tebrau
Astro Awani
Januari 11, 2023 17:40 MYT
Januari 11, 2023 17:40 MYT
KUALA LUMPUR : Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang mendedahkan, terdapat sekurang- kurangnya lima nama disebut-sebut mahu bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan parti akan datang.
Tanpa menyebut mana-mana nama, Maulizan berkata, gelombang yang mahukan perubahan semakin terasa dalam UMNO dan mula menonjolkan diri serta mahu menguji keabsahan dua jawatan tertinggi parti.
"Oleh itu, demokrasi subur dalam UMNO, usul khas tak mahu pertandingan jawatan Presiden, Timbalan Presiden tidak seharusnya dibangkitkan dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO) kali ini sesuai dengan pandangan ramai pemimpin akar umbi yang membuat kenyataan sebelum ini," katanya kepada media pada Rabu.
Menurut beliau, calon-calon untuk merebut kerusi Presiden dilihat mengintai peluang selepas parti UMNO yang dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan prestasi yang lemah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman berkata, Ahmad Zahid tidak pernah melarang demokrasi, namun, tiada pihak yang menawarkan diri untuk bertanding.