Lebih banyak transformasi jika PH diberi mandat sekali lagi
Sinar Harian
September 14, 2022 11:00 MYT
September 14, 2022 11:00 MYT
SHAH ALAM: Lebih banyak transformasi dan reformasi institusi boleh dilakukan jika rakyat memberi peluang sekali lagi kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memerintah negara.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berpandangan, melalui memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan PH yang dimeterai setahun lalu, beberapa pindaan perlembagaan berjaya dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
"Pada 13 September tahun lalu merupakan tarikh keramat dan bersejarah apabila PH bersetuju memeterai MoU dengan kerajaan Persekutuan, lalu membentuk kerjasama dwipartisan ke arah reformasi institusi negara.
"Kesemua transformasi yang dilakukan adalah untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih stabil selain membuktikan kepada rakyat yang PH mampu mengetepikan sentimen politik," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook pada Selasa.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu MoU turut menyenaraikan beberapa pencapaian hasil pemeteraian MoU berkenaan termasuk Akta Anti Lompat Parti, pewartaan Undi18, pendaftaran pemilik automatik dan Moratorium B50.
"Menyorot kembali setahun perjalanan MoU ini, dianggarkan lebih 83 peratus perkara-perkara disepakati sudah berjaya dilaksanakan antaranya pembaharuan Parlimen yang menjadi antara enam transformasi utama dalam MoU.
"Peruntukan sama rata untuk semua ahli Parlimen juga dicapai demi menjamin khidmat yang berkesan dan manfaat akhir dinikmati rakyat.
"Kebebasan badan kehakiman juga dicapai bagi memastikan badan kehakiman sentiasa bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak," katanya. - Sinar Harian