Lebih 50 peratus keahlian Pejuang libatkan golongan muda- Mukhriz
Abd Hadi Che Awang
Disember 10, 2021 18:11 MYT
Disember 10, 2021 18:11 MYT
MERBOK: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjelaskan bahawa lebih 50 peratus daripada keseluruhan keahlian parti berkenaan adalah melibatkan golongan muda.
Menurutnya, negeri Kedah pula menjadi negeri paling tinggi merekodkan bilangan keahlian bagi parti yang diluluskan Julai lalu itu, diikuti negeri Sabah, Johor dan Selangor.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar keahlian Pejuang namun menyifatkan peningkatan berlaku dengan lebih cepat jika dibandingkan ketika awal penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.
"Dari segi nombor, saya tidak (boleh) umum (lagi) tetapi saya nampak peningkatan ahli (Pejuang) lebih cepat berbanding zaman kami di dalam Bersatu dahulu, mungkin ada sebab dia, tetapi saya ingat minat kepada Pejuang ini agak meningkat.
"Yang ini pun agak menarik (sebenarnya), parti kami ini keahliannya (libatkan individu) yang begitu muda sekali, jadi walaupun saya tahu orang muda banyak pilihan tapi sebilangan antara mereka memilih untuk menyertai Pejuang, anggaran lebih 50 peratus ahli kami dari kalangan orang muda dan ini perkara yang baik kalau kita ada Undi 18," katanya.
Mukhriz berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan Walkabout Pejuang Parlimen Merbok di Arked Niaga Tanjung Dawai pada Jumaat.
Beliau dalam masa yang sama turut memaklumkan bahawa parti yang dipimpinnya itu sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
"Buat masa sekarang tidak ada lagi (sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak) tetapi kita sedia untuk berbincang dengan sesiapa jua, kami sangat terbuka kepada rakan lama yang dulu kita berjuang sekali, walaupun begitu kita juga bersedia untuk sertai pilihan raya secara berseorangan,
"Kita faham kalau realiti politik sekarang ini, kerajaan yang biasa ditubuhkan adalah kerajaan campuran tetapi kita berusaha supaya masyarakat Melayu diwakili dengan kepimpinan yang ramai," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai prestasi Jemaah Menteri dalam 100 hari pentadbiran Kerajaan #KeluargaMalaysia beliau memnyifatkan ianya gagal selain memberikan 'Gred F' kepada pencapaian terbabit.
"(Pencapaian 100 hari kerajaan #Keluarga Malaysia itu) failed, iI give them F, dalam 100 hari ini, tidak nampak apa pun telah dibuat oleh kerajaan, tidak ada satu benda pun, yang dibuat pun daripada dasar yang lama itu pun perlaksanaannya lemah, yang kita nampak Bajet yang begitu besar yang tidak pernah (ada) dalam sejarah (iaitu) mencecah lebih RM322 bilion tetapi perbelanjaan dan perlaksanaan projek entah ke mana," katanya lagi.