Lebih 12,000 anggota pasukan keselamatan tunai tanggungjawab di empat negeri

Astro Awani
Mei 5, 2018 15:12 MYT
Pengundian awal di Perlis, Kedah Pahang dan Melaka babitkan lebih 8,000 anggota pasukan keselamatan berjalan lancar.
Seorang anggota polis berpangkat koperal tidak ketinggalan menjalankan tanggungjawabnya untuk membuang undi awal di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Arau, Perlis.
Zulkefli Md Isa, terpaksa berkerusi roda kerana tidak dapat berjalan akibat sakit kencing manis, sejak beberapa minggu lalu.
Bagaimanapun, Zulkelfi yang sudah lebih 30 tahun berkhidmat sebagai anggota polis berkata, dia bangga kerana dapat membuang undi walaupun terpaksa bergerak dengan menggunakan kerusi roda.
Proses mengundi yang dijalankan di Dewan Serba Guna IPD Arau, seawal jam 8 pagi tadi.
Di Melaka pula, sejumlah 2,908 pegawai dan anggota polis menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal Pilihanraya Umum (PRU) ke-14, di 25 pusat mengundi seluruh negeri itu.
Pembukaan sehingga 25 pusat mengundi di setiap daerah yang dibuka jam 8 pagi itu adalah bagi memudahkan setiap anggota menjalankan tanggungjawab berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abd Jalil Hassan berkata sebanyak 31 laporan polis diterima sepanjang tempoh berkempen yang melibatkan perbuatan khianat seperti menurunkan bendera-bendera parti lawan.
Calon Barisan Nasional (BN) parlimen Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan pihak lawannya Dr. Md. Khalid Kassim (Pas) serta calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Chua Kheng Hwa (BN) dan lawannya Kerk Chee Yee (PKR) turut hadir di di perkarangan pusat mengundi IPK Melaka.
Manakala di Pahang, seramai 6,486 anggota dan pegawai polis menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan membuat pengundian awal di 37 pusat pengundian undi bermula pagi ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Rahman berkata, jumlah itu adalah termasuk seramai 398 pesara polis yang turut mengundi awal.
"Setakat ini saya berpuas hati dengan keadaan pengundian awal membabitkan anggota polis dan berharap keadaan ini kekal sehingga pengundian ditutup jam 5 petang ini," katanya.
Beliau berkata, seramai 293 pegawai dan anggota polis daripada Kontinjen Pahang turut melaksanakan undi pos sehingga hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPR negeri, Datuk Zamree Hamli berkata, seramai 21,358 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di 48 pusat pengundian di seluruh negeri ini hari ini.
Katanya, kesemua pusat mengundi itu yang melibatkan 68 saluran tempat mengundi dibuka bermula pukul 8 pagi ini termasuk di ibu pejabat polis kontinjen dan ibu pejabat polis daerah bagi polis serta kem tentera untuk warga ATM.
Sebanyak 41 pusat pengundian awal di seluruh Kedah juga dibuka, memberi peluang 6,313 anggota PDRM yang berdaftar sebagai pengundi awal dan pengundi pos bagi PRU14.
Daripada jumlah tersebut, seramai 788 anggota menjalankan tanggungjawab mengundi secara pos.
Proses pengundian dibuat bermula jam 8 pagi berakhir jam 5 petang.
Pecahan pengundi yang melibatkan 5209 pengundi awal polis dan 312 pengundi isteri dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 Kulim.
SPR turut memberi peluang kepada 792 pengundi pesara polis yang disenaraikan sebagai pengundi awal ST4 kerana masih tidak menukar status pengundi awal kepada pengundi awam selepas bersara.
#anggota keselamatan #Malaysia Memilih #Melaka #Pahang #Perlis #Pilihanraya Umum 14 #polis #PRU14 #tentera #undi awal
;