Lebih 100 ahli AMK Pulau Pinang keluar PKR

Astro Awani
Mei 1, 2018 18:52 MYT
Lebih 110 ahli AMK Pulau Pinang keluar PKR.
Lebih 100 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini selepas kecewa dengan kepimpinan negeri dan pusat yang didakwa lemah serta gagal membawa suara akar umbi.
Ketua AMK negeri, Asrol Sani Abd Razak berkata kesemua mereka adalah ahli dan penyokong dari lima cabang negeri iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh dan Bukit Mertajam.
Menurut Asrol Sani, dia amat kecewa dengan kepimpinan parti di negeri itu khususnya Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman yang didakwa gagal menjaga anggota akar umbi terutama golongan muda.
"Pergaduhan di peringkat atasan tetapi peringkat bawah dikorbankan, tak peduli apa rakyat rasa terus dikorbankan. Itu yang kita nak luahkan rasa tidak puas hati hari ini.
"Politik macam ini adalah bukan politik yang digemari oleh anak muda, anak muda kalau kita tidak suka kita kata tidak suka, kalau suka kita kata suka, awak betul kita kata betul, awak tidak betul kita kata tidak betul," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan keluar parti di Telok Ayer Tawar, Buttterworth pada Selasa.
Asrol Sani berkata tindakan keluar parti itu bagi memberi kesedaran kepada kepimpinan sama ada di peringkat negeri dan pusat bahawa parti yang kononnya menegakkan keadilan untuk rakyat kini seolah-olah sudah tersasar daripada matlmat asal penubuhannya.
Kata beliau, keputusan meninggalkan parti itu bukan dipengaruhi mana- mana pihak sebaliknya disebabkan kerelaan sendiri selain sudah tidak percaya dengan pimpinan parti yang gagal menjalankan tanggungjawab selain mementingkn diri sendiri.
Ditanya sama ada ingin menyertai mana-mana parti lain selepas ini, beliau menjelaskan belum membuat sebarang keputusan lagi mengenai perkara itu dan bercadang untuk berehat sementara daripada arena politik.
#AMK #Angkatan Muda Keadilan #Asrol Sani Abd Razak #Butterworth #isu semasa #keluar parti #Malaysia Memilih #Parti Keadilan Rakyat #Permatang Pauh #PKR #politik #rakyat
;