Lawatan Dr Mahathir langkah awal hubungan PH dan GPS - Penganalisis
Wan Syamsul Amly
Julai 15, 2018 12:08 MYT
Julai 15, 2018 12:08 MYT
Ketibaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuching menandakan langkah awal hubungan baik Pakatan Harapan (PH) dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, ia sekali gus memberi bayangan positif masa depan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan sendiri.
Jelasnya, ia juga pendekatan mesra PH bersama Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Tun Openg dalam konteks Dewan Rakyat.
"Saya jangka bahawa pertemuan hari ini walaupun sedikit sebanyak menyentuh pembangunan, tetapi saya percaya mereka juga akan menyentuh soal bagaimana hubungan jalinan GPS dan PH dan demi kebaikan rakyat serta negara pada keseluruhannya.
"Ia bagi memastikan hubungan integrasi dan juga makna di sebalik sistem persekutuan dan juga pembangunan yang hendak dilancarkan atau dilaksanakan akan dapat diteruskan untuk kepentingan rakyat di sini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dr Jeniri berkata demikian ketika mengulas ketibaan Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Kuching pada Sabtu untuk menghadiri beberapa majlis di sana.
Mengulas isu sama, Pensyarah kanan Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menjelaskan, kehadiran Dr Mahathir adalah manifestasi hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk masuk ke Sarawak.
"Jadi ketika ini dalam hubungan Sabah dan Sarawak ini, perlu diperkukuhkan dalam apa sahaja keadaan politiknya. Ini penting, untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terbina.
"Pada masa sama wujudnya semak dan imbang ini sama ada di peringkat persekutuan atau Sarawak hendak pastikan integriti pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik lagi," jelasnya.
Lawatan Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH adalah yang pertama di Sarawak selepas menjadi perdana menteri kali kedua susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.