Lawatan Azmin ke China, pembangkang meludah ke langit - Budiman
Budiman Mohd Zohdi
September 25, 2017 18:32 MYT
September 25, 2017 18:32 MYT
MENTERI Besar Selangor, Datuk Azmin Ali baru sahaja selesai mengadakan lawatan ke China dengan alasan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke China.
Walaupun belum lagi dikeluarkan apa-apa laporan hasil lawatan tersebut, ternyata segala yang cuba diraih oleh kerajaan negeri Selangor adalah hasil dari inisiatif dan kerja keras yang telah dimulakan oleh kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggerakkan pelbagai usaha bagi membawa masuk pelaburan dari China sama ada melalui Government-to-Government (G2G), Business-to-Business (B2B) mahupun People-to-People (P2P) termasuklah yang dibuat ketika lawatan Perdana Menteri ke China pada bulan Mei lalu.
Hasilnya, jumlah pelaburan China ke Malaysia dari usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri ini mencecah lebih dari RM30 bilion.
Usaha kerajaan persekutuan ini juga telah memungkinkan syarikat terkenal dari China iaitu Ali Baba Group untuk membuka hub pengedarannya di Sepang yang secara langsung dan tidak langsung akan membawa pulangan kepada kerajaan negeri Selangor.
Namun, kejayaan Perdana Menteri membawa sejumlah pelaburan yang besar ini telah dijadikan modal politik apabila pihak pembangkang mendakwa kerajaan persekutuan sedang menjual negara kepada China.
Harus diingatkan di sini, keberadaan Azmin Ali di negara China tidak mungkin akan berlaku jika tiadanya usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri dan kerajaan persekutuan.
Selain ini, lawatan Azmin Ali ini juga jelas adalah suatu lagi tindakan hipokrit oleh pihak pembangkang yang selama ini menyatakan segala usaha pelaburan yang dibuat kerajaan persekutuan sebagai sesuatu yang tidak memberi keuntungan kepada negara.
Rakyat juga tidak harus ditipu melalui segala terma ekonomi serta pelaburan yang digunakan oleh pihak pembangkang dalam cubaan mengelirukan kefahaman rakyat serta membandingkan usaha mereka dengan perkara yang dibuat oleh kerajaan persekutuan.
Rakyat tidak lupa juga sikap hipokrit pembangkang apabila kerajaan negeri Pulau Pinang turut sama mendapatkan pinjaman dari negara China bagi menampung perbelanjaan pembangunan di negeri tersebut.
Apa yang pasti, pihak pembangkang hari ini umpama meludah ke langit. Cukup-cukuplah mengelirukan rakyat dengan sikap hipokrit mereka.
Tindakan mereka ini bukan sahaja hipokrit malah cuba meraih keuntungan dan hasil dari usaha yang telah mereka kritik sebelum ini.
* Budiman Mohd Zohdi ialah Ahli Parlimen Sungai Besar
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Azmin Ali
#China
#ekonomi
#menteri
#Menteri Besar
#Najib Razak
#pelaburan
#pembangkang
#politik
#rakyat