Latheefa patut letak jawatan - Azwan Bro
Harits Asyraf Hasnan
Januari 10, 2020 18:44 MYT
Januari 10, 2020 18:44 MYT
BEKAS Senator Dewan Negara, Khairul Azwan Harun mendesak supaya Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya meletak jawatan bagi menjaga imej serta intergriti SPRM daripada terus tercemar.
Dalam satu kenyataan kepada media, Khairul Azwan yang juga dikenali sebagai Azwan Bro turut menyeru semua ahli-ahli Parlimen untuk merujuk Latheefa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kerana telah merosakkan kredibiliti dan nama baik SPRM.
"Kenyataan dan andaian yang dibuat oleh Latheefa Koya di sidang media itu adalah tindakan drama politik murahan beliau semata-mata," katanya.
Menyifatkan beliau tiada kaitan langsung dalam urusan 1Malaysia Development Berhad dan SRC International, tegas Khairul Azwan tindakan Latheefa mendedahkan perbualan-perbualan telefon pada Rabu lalu adalah bercanggah dengan kedaulatan undang-undang (rule of law).
"Malah, tindakan beliau itu amat mengaibkan serta menjejaskan reputasi saya.
"Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa saya terlibat dalam urusan 1MDB dan SRC dalam apa cara juapun.
"Saya juga menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa saya kononnya terlibat dalam sebarang bentuk konspirasi seperti yang dinyatakan di sidang media itu," tegasnya.
Beliau pada masa sama turut menyifatkan kenyataan dan andaian yang dibuat Latheefa dalam sidang media itu adalah tindakan drama politik murahan semata-mata.
Justeru, beliau mendesak kerajaan Malaysia Baharu untuk segera memperbetulkan kerosakan intergriti dan kredibiliti yang berlaku dalam SPRM serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan penguatkuasa bebas ini semula.
Khairul Azwan merupakan antara nama yang disebut pada sidang media tersebut yang kononnya terlibat dalam konspirasi jenayah tertinggi.
Latheefa ketika dihubungi Astro AWANI enggan memberi sebarang maklum balas berhubung gesaan Azwan Bro itu.
"Maaf, tiada komen," jawabnya, ringkas.
SPRM pada Rabu telah mendedahkan audio rakaman dipercayai perbualan diantara beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Putera Mahkota Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.
#Khairul Azwan Harun
#Latheefa Koya
#Malaysia Baharu
#Najib Razak
#pendedahan audio
#Rosmah Mansor
#Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan
#SPRM