Larry Sng dilantik Presiden PBM

Ridauddin Daud
Januari 8, 2022 17:21 MYT
Larry dilantik selepas diputuskan perwakilan daripada 12 bahagian PBM yang menghadiri Mesyuarat Khas Persidangan Agung (EGM) parti yang diadakan di sebuah hotel di Sibu, Sarawak pada Sabtu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dilantik sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) sekali gus menamatkan teka-teki siapakah yang bakal mengetuai parti baharu tersebut.
Menurut laporan Sinar Premium, Larry dilantik selepas diputuskan perwakilan daripada 12 bahagian PBM yang menghadiri Mesyuarat Khas Persidangan Agung (EGM) parti yang diadakan di sebuah hotel di Sibu, Sarawak pada Sabtu.
Selain Larry, seramai 30 ahli jawatankuasa kepimpinan baharu PBM turut dilantik dan dipilih dalam mesyuarat EGM berkenaan termasuk pelantikan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Haniza Mohamed Talha dan Wong Judat sebagai Timbalan Presiden.
Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam pula dilantik sebagai Naib Presiden parti itu.
Selain itu, seorang lagi bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi dilantik sebagai Ketua Wanita PBM manakala bekas Exco Kerajaan Negeri Perak daripada DAP, Paul Yong Choo Kiong dipilih sebagai Bendahari Agung parti itu.
Menurut Larry, pelaksanaan EGM dan pemilihan parti dibuat atas saranan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) susulan sesi EGM pertama yang diadakan pada 14 November tahun lalu dianggap tidak lengkap.
"Namun kini masalah itu telah selesai dan PBM mengambil kesempatan itu untuk terus mengadakan pemilihan parti daripada jawatan Presiden hingga Ahli Majlis Tertinggi seramai 25 orang dan lima ahli jawatankuasa kepimpinan yang dilantik.
"Pada masa sama, seluruh kepimpinan, perwakilan dan pemerhati juga telah menyatakan hasrat untuk mendukung kepimpinan kerajaan yang mentadbir negara hari ini.
"Kita akan berusaha memastikan agenda PBM dalam mengangkat hasrat rakyat pelbagai kaum dan berbilang bangsa di Malaysia dapat dilaksanakan selepas ini," katanya seperti dilaporkan Sinar Premium pada Sabtu.
Katanya lagi, 12 bahagian PBM turut mengusulkan agar parti itu menjadi parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan usul itu telah dipersetujui barisan kepimpinan baharu parti.
"Hal ini kerana kami melihat PBM mampu menjadi opsyen parti berbilang kaum dalam koalisi BN bagi memenangi seberapa banyak kerusi campuran penting di semenanjung dan Sabah.
"Ditambah dengan BN terbukti mempunyai urus tadbir parti yang stabil selain dianggap koalisi paling berpengalaman mentadbir negara, keputusan PBM untuk menjadi sebahagian parti komponen BN dianggap strategi tepat," katanya.
Tambahnya, sesi perbincangan lanjut dengan Majlis Tertinggi BN akan diadakan dalam masa terdekat.
SENARAI AHLI JAWATANKUASA KEPIMPINAN BAHARU PBM SESI 2021/2023:
Presiden : Larry Sng
Timbalan Presiden 1 : Haniza Mohamed Talha
Timbalan Presiden II : Wong Judat
Naib Presiden Kanan 1 : Steven Choong Shiau Yoon
Naib Presiden Kanan 2 : A Sivasubramaniam
Naib Presiden 1 : Rahimah Majid
Naib Presiden 2 : Dr A Sathiskumar
Naib Presiden 3 : Saiful Bahari Sahri
Ketua Wanita : Dr Daroyah Alwi
Ketua Pemuda : Na'im Brundage
Setiausaha Agung : Nor Hizwan Ahmad
Timbalan Setiausaha Agung : Jenny Chew
Bendahari Agung : Paul Yong Choo Kiong
Ketua Penerangan : Zakaria Abdul Hamid
#Parlimen #Malaysia #PBM #Larry Sng #Presiden PBM #Parti Bangsa Malaysia