Laporan risikan: UMNO Kelantan desak Pas beri penjelasan, buat laporan polis
Vivi Sumanti
April 21, 2022 20:48 MYT
April 21, 2022 20:48 MYT
KOTA BHARU: Badan Perhubungan UMNO Kelantan memohon penjelasan dari Pas berhubung isu pendedahan dari beberapa dokumen tular yang dikatakan tercatat di dalam Laporan Political Engagement Pas Pusat.
Bahkan menurut Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, sekiranya perkara itu tidak benar, Pas Pusat perlu segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan tuntas dijalankan kerana ianya melibatkan nama baik institusi kehakiman dan perundangan negara yang perlu dipertahankan.
Sebaliknya, menurut beliau, sekiranya pendedahan itu benar ia satu perkara yang amat memalukan negara apabila suatu komplot pemusnahan karektor (character assasination) jahat dan kotor yang dibuat oleh gabungan Perikatan Nasional.
"Kami amat terkejut terhadap beberapa isi kandungan laporan itu yang mana di antaranya menyebut untuk memastikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak, dikenakan hukuman penjara dengan mempercepatkan perbicaraan mereka," katanya menerusi satu kenyataan petang tadi.
"Kandungan lain juga ada menunjukkan rancangan untuk mengenakan tuduhan ke atas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dengan mengaitkan beliau mengaitkan dengan gelaran Kluster Mahkamah," tambahnya.
Jelas Ahmad Jazlan lagi, pendedahan itu menunjukkan adanya campur tangan di dalam kes rekaan yang sedang dihadapi oleh dua pemimpin utama UMNO sekali gus akan memberi gambaran bahawa Pas dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berniat jahat dengan mencampuri sistem perundangan negara dengan cara yang kotor.
Terdahulu, tular di media sosial berkenaan satu dokumen sulit yang menyerupai minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) mengenai pertemuan antara Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan pemimpin parti lain pada Mac dan April lalu.
Antara barisan pemimpin yang dinyatakan ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diikuti Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air, Tun Dr Mahathir Mohamad; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Pas bagaimanapun menafikan dakwaan yang mana parti itu terlibat dalam mengatur gerak kerja melalui dokumen minit mesyuarat dikenali sebagai Laporan Political Engagement Pas Pusat yang dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan BN dan UMNO