Laporan PAC bukti Najib difitnah - Tengku Adnan
Dania Zainuddin
April 9, 2016 18:54 MYT
April 9, 2016 18:54 MYT
Keputusan Laporan Jawatankuasa Kira-kira (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuktikan fitnah telah berlaku terhadap perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudah berlarutan sehingga dua tahun.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menegaskan ia tidak adil dan sudah diakui bukan sahaja dari pihak kerajaan tetapi juga pembangkang.
"Dia (Dr Tan Seng Giaw) memberitahu Datuk Seri Najib (Razak) langsung tidak terlibat dengan apa yang berlaku dalam isu 1MDB," kata Tengku Adnan selepas merasmikan Majlis Perasmian Surau Al-Muhajirin Presint 9 di Putrajaya pada Sabtu.
Katanya, orang ramai perlu mendapatkan fakta sebenar dan tindakan menunding jari ini adalah satu perkara yang tidak baik.
"Saya merayu kepada rakyat, supaya tidak percaya kepada orang yang suka menunding jari. Mereka ini ada matlamat tertentu untuk memecahbelahkan masyarakat Malaysia yang sekarang ini aman sejahtera dan sentosa.
"Malaysia sudah menjadi sepertimana ia hari ini kerana kita telah bersatu di dalam segala kepelbagaian. Ada beberapa orang di dalam dan luar negara tidak dapat melihat bahawa kita bersatu.
"Mereka berharap kita berpecah belah. Kalau kita berpecah belah kita tidak akan mencapai matlamat untuk menjadi negara maju," kata Tengku Adnan.
Selain itu, katanya, dengan keputusan PAC ini, isu 1MDB boleh ditutup bagi memberi peluang kepada pengurusan syarikat itu meneruskan operasi.
"Mari kita bergerak ke hadapan dan biarlah 1MDB ini dapat melaksanakan apa yang perlu dilakukan sebagai sebuah syarikat," ujarnya lagi.
Jelas Tengku Adnan, kerajaan bersama pengurusan 1MBD akan terus memperbaik apa yang sudah disebut dan dicadangkan oleh PAC.
Sebelum ini, Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata pihaknya tidak menemui sebarang bukti untuk menunjukkan salah laku atau salah guna kuasa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh anggota PAC yang terdiri daripada anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang
Laporan PAC berkaitan 1MDB dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis.