Lapan bulan tidak cukup perjelas kerjasama PH-BN - Adun Lenggeng

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 14, 2023 19:05 MYT
Mohd Asna berkata tidak timbul soal gabungan blok PH dan BN ditolak oleh rakyat. - Gambar/ Astro AWANI
SEREMBAN: Tempoh lapan bulan sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan tidak mencukupi untuk menjelaskan kerjasama yang terjalin antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mohd Asna Amin berkata tidak timbul soal gabungan dua blok parti itu ditolak oleh rakyat, sebaliknya penjelasan mengenai kononnya wujud ‘pengkhianatan’ selepas Pilihan Raya Umum (PRU15) lalu tidak sampai ke peringkat akar umbi.
“Bagi saya selaku ADUN yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), mereka (pengundi) bukan menolak (PH-BN) tetapi mereka tidak benar-benar faham sebenarnya tentang gabungan ini (kerana) bagi mereka gabungan ini suatu pengkhianatan.
“Jadi rupanya penjelasan yang dibuat Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan pemimpin-pemimpin lain tidak cukup sampai yang mana dalam masa dua minggu (berkempen) ini kita berjaya buat penjelasan dan menang, maksudnya bukan semua akar umbi menolak tetapi masa (beri penjelasan) itu terhad.
“Mereka (pengundi) masih sokong gabungan ini, jadi bagi saya bukannya kita perlu mendesak presiden bertanggungjawab dan sebagainya, tetapi UMNO dan BN perlukan masa lebih lama untuk jelaskan kepada akar umbi kenapa hubungan ini bagus untuk negara,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut katanya, BN perlu mewujudkan kaedah baharu seperti peranan yang pernah dimainkan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dalam menyuntik doktrin perjuangan sebenar yang sedang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti termasuk keputusan bekerjasama dengan gabungan PH.
“Dahulu kita ada JASA yang buat kelompok-kelompok kecil untuk beri penjelasan, jadi rasanya badan itu kena wujudkan balik sebab dahulu kita sudah berjaya.
“UMNO bukan perlu suruh presiden letak jawatan, tetapi perlukan masa dan kaedah-kaedah baharu untuk menjelaskan apa hala tuju sebenar dan kalau ia berjaya disampaikan sepenuhnya menjelang PRU16 nanti, UMNO dan BN akan menang besar,” tambahnya.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan gabungan Kerajaan Perpaduan PH-BN kekal mentadbir negeri apabila memperoleh 31 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi.
#PRN #PRN Negeri Sembilan #ADUN Lenggeng #Zahid Hamidi
;