Lantikan politik di GLC, GLIC perlu letak jawatan - Nik Nazmi
Afiezy Azaman
Ogos 17, 2021 10:55 MYT
Ogos 17, 2021 10:55 MYT
KUALA LUMPUR: Lantikan politik yang menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mesti meletak jawatan.
Itu gesaan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad selepas peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasssin, pada Isnin.
“Ia adalah hal yang betul dan bermaruah untuk dilakukan.
“Dengan peletakkan jawatan Perdana Menteri, tiada sebab untuk mereka terus menyandang jawatan tersebut.
“Kebanyakan entiti GLC dan GLIC dijalankan dan diselia secara professional, peletakkan jawatan mereka tidak akan terlalu memberi kesan,” katanya dalam muat naik di Facebook.
Nik Nazmi berkata, Kerajaan baharu yang bakal terbentuk wajib melantik mereka yang professional dan benar-benar layak untuk mengisi jawatan-jawatan ini, bukan perkiraan politik semata-mata.
Pada Isnin, Muhyiddin dan seluruh cabinet Perikatan Nasional meletakkan jawatan selepas kehilangan majoriti di Dewan Rakyat apabila seramai 15 ahli parlimen UMNO menarik diri daripada menyokong mereka.