Lantikan Exco Negeri Sembilan akan dibuat secepat mungkin - MB
Ridauddin Daud
Ogos 14, 2023 18:26 MYT
Ogos 14, 2023 18:26 MYT
KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berharap akan dapat memuktamadkan senarai anggota Exco negeri dalam minggu ini juga.
Menurutnya, perbincangan akan dilakukan bersama pimpinan negeri, termasuk dari Barisan Nasional (BN) sebelum dibawa kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti.
Jelasnya, keputusan harus juga dibincangkan bersama kepimpinan tertinggi parti supaya tiada perkara lain akan berbangkit pada masa akan datang.
Tambah beliau, komposisi Exco Negeri dari Pakatan Harapan dan BN juga masih belum dibincangkan dan tegasnya, beliau akan bertemu secepat mungkin dengan pimpinan BN Negeri Sembilan.
"Belum bincang, kita selesaikan satu-persatu. Selepas ini kita akan bincang nisbah (pembahagian jawatan Exco Negeri)," katanya.
Tambah beliau, setakat ini jumlah Exco Negeri akan kekal pada angka 10, tiada pertambahan kerana perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Negeri.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Seri Menanti selepas selesai Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di sini pada Isnin.