Lantik segera Menteri KPDN - Muhyiddin
Sinar Harian
Oktober 21, 2023 20:14 MYT
Oktober 21, 2023 20:14 MYT
MUAR: Kerajaan perlu segera melantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan setiap permasalahan yang timbul berhubung isu keterjaminan Makanan dapat diselesaikan segera.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketiadaan Menteri KPDN telah menyebabkan beberapa isu seperti kenaikan harga barang dan bekalan beras berpanjangan.
“Setakat ini, saya tidak dengar lagi sesiapa yang dilantik untuk jawatan tersebut sama ada Mohamad Sabu (Datuk Seri) melaksanakan tugas berkenaan atau sebaliknya.
“Sebenarnya tidak mahu campur urusan Perdana Menteri, tetapi sekarang ini ada krisis makanan dan jawatan berkenaan tidak diisi lagi,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh, di Felda Batu 27 Lenga, Pagoh di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, sekiranya KPDN mempunyai menteri sendiri, isu berkaitan bekalan makanan termasuk penanaman pada sehingga pengedarannya tentu mempunyai sistem yang tersendiri dan bukannya diurus oleh kementerian lain.
“Saya jelaskan di sini keadaan telah mendesak dan perlu cepat-cepatlah melantik dan ianya diisi segera,” katanya.
Sebelum itu pada 18 Oktober, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Simposium ‘The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), menyatakan jawatan berkenaan akan diisi setelah ada calon yang sesuai melalui satu rombakan kabinet.
Selain itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga berharap agar kerajaan segera melantik seorang menteri bagi KPDN.
Menurut Ahli Parlimen Muar itu, sudah hampir tiga bulan kementerian berkenaan tidak mempunyai seorang menteri bagi menguruskan pelbagai urusan. - Sinar Harian