Langkah pembersihan hanya hasilkan lebih banyak kotoran - Annuar Musa

Sinar Harian
Januari 28, 2023 10:45 MYT
Kenyataan dimuat naik Annuar di Facebooknya.
SHAH ALAM: Tindakan UMNO melakukan pemecatan dan penggantungan terhadap kepimpinan serta ahli parti pada Jumaat tidak akan mampu ‘membersihkan' parti itu, kata bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Sebaliknya, Annuar yang dipecat pada awal Disember tahun lalu berkata, tindakan dilakukan parti berkenaan pada Jumaat itu hanya akan menghasilkan lebih banyak ‘kotoran’ kerana punca sebenar ‘kotoran’ masih kekal berpaut dalam UMNO.
“Mereka bangga memonopoli kuasa dalam parti, menunggang parti berasaskan naratif palsu yang mereka reka sendiri.
"Biarpun parti semakin hancur akibat kerja dan tunggangan mereka,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebooknya pada Sabtu.
Pada Jumaat, UMNO mengumumkan pemecatan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas naib presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Annuar yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh melahirkan penghargaan kepada pemimpin parti itu yang sanggup berhadapan risiko untuk memperbaiki partii daripada terus rosak dengan mengambil pendirian berkata benar.
Menurutnya, pemimpin yang menghadapi tindakan daripada parti tidak seharusnya gusar kerana masih terdapat ikhtiar lain boleh digunakan untuk terus melakukan perjuangan.
“Saya harap semua bertenang dan sabar. Memecat orang yang tidak bersependapat adalah cara paling mudah untuk seseorang kekal berkuasa. Percayalah, berkata benar itu mahal harganya.
“Dan ingatlah, jika pun mereka kini berkuasa, masih ada lebih tinggi kuasanya. Parti itu ciptaan kita manusia, ia hanya alat untuk berjuang dan ia bukan satu matlamat. Jika baik pimpinannya,maka betul dan baiklah perjuangannya,” menurutnya yang juga Presiden Muafakat Nasional (MN).
Annuar menambah, dengan rakyat ketika ini dilihat sudah meninggalkan UMNO, sudah tiba masanya untuk ahli parti untuk turut meninggalkan UMNO secara beramai-ramai.
“Berilah UMNO kepada mereka untuk mereka jadikan perisai peribadi dan perniagakan sebagai syarikat sendirian berhad mereka. Perjuangan tetap kita teruskan, cara kita,” ujarnya. - Sinar Harian
#Annuar Musa #UMNO #pecat #kotor
;