'Langkah Kajang' BN lebih bermanfaat kepada rakyat - PM Najib
Firdaus Azil
April 14, 2018 12:42 MYT
April 14, 2018 12:42 MYT
‘Langkah Kajang’ yang Barisan Nasional (BN) laksanakan lebih bermanfaat kepada penduduk di kawasan itu, berbanding dengan ‘Langkah Kajang’ yang pembangkang buat pada 2014 dahulu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya lagi, ‘Langkah Kajang’ pembangkang pada 2014 itu bukan sahaja menyusahkan rakyat kerana terpaksa melalui Pilihan Raya Kecil bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah, malah ia turut mengakibatkan krisis di Selangor ketika negeri itu terpaksa menyaksikan pertukaran Menteri Besar.
Berbeza dengan ‘Langkah Kajang’ yang BN lakukan, ia lebih bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat seperti pembinaan MRT Fasa Pertama dari Sungai Buloh ke Kajang, dan projek penambahbaikan Hospital Kajang.
“Bayangkan, apabila hospital kanak-kanak dan wanita ini siap, yang menggunakan hospital ini antara termoden dengan pelbagai kemudahan specialist services untuk wanita dan kanak-kanak, dan bayaran seperti lahirkan bayi hanya RM50 sahaja,” katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Hospital Kajang di Sungai Jelok, di sini hari ini.
Projek bernilai RM304.5 juta itu bakal menyaksikan sebuah kompleks baharu khusus untuk golongan wanita, ibu dan kanak-kanak, dengan pertambahan sebanyak 272 katil, di mana 90 daripadanya untuk katil Obstetrik dan Ginekologi (O&G), 84 katil kanak-kanak, dan enam katil untuk Unit Rawatan Rapi, Wad Paediatrik.
Ini termasuk dengan 14 bilik bersalin, enam bilik bedah, pusat rawatan pakar dan pusat rawatan seharian.
Projek itu bakal mengambil masa selama tiga tahun, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2021.
Melalui projek itu, kata Datuk Seri Najib, BN telah pun memenuhi tiga elemen yang terkandung dalam manifestonya yang dilancarkan baru-baru ini, iaitu meletakkan golongan wanita dan ibu sebagai keutamaan, memastikan penjagaan kesihatan kanak-kanak mengikut standard yang tinggi, serta memastikan rakyat mempunyai akses kepada kehidupan berkualiti.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkata, Kerajaan BN sangat mengambil berat soal mengenai penjagaan kesihatan untuk rakyat negara ini.
“Saya suka tarikh perhatian, Malaysia terus memahat nama dalam industi perlancongan kesihatan apabila kita memenangi anugerah World No 1’s Health and Tourism Destination selama tiga tahun berturut-turut.
“Terkini pada 29 Jan 2018, Majalah International Living melaporkan, Malaysia adalah antara lima negara terbaik dunia dalam kategori perkhidmatan penjagaan kesihatan berdasarkan kos perubatan dan kualiti perkhidmatan kesihatan,” katanya.
#Barisan Nasional
#bayi
#Hospital
#Kanak-kanak
#kerajaan
#Malaysia
#Malaysia Memilih
#Najib Razak
#pembangkang
#Perdana Menteri
#perubatan