Langkah gabung PBS, STAR wajar dipertimbang - Joniston

Bernama
Julai 2, 2023 05:30 MYT
Joniston berkata sebarang idea atau langkah yang mampu mempromosi perpaduan dan memperkukuh GRS wajar disokong. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Cadangan menggabungkan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) wajar dipertimbang namun memerlukan perbincangan menyeluruh serta teliti antara pemimpin kedua-dua parti, kata Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai.
Ketua Penerangan PBS itu berkata sebarang idea atau langkah yang mampu mempromosi perpaduan dan memperkukuh GRS wajar disokong.
Bagaimanapun, Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu, berkata idea itu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu secara menyeluruh oleh majlis tertinggi kedua-dua parti.
"Memandangkan landskap politik Sabah yang dinamik, penggabungan PBS dan STAR berupaya melambangkan transformasi yang strategik. Pertimbangan utama ialah perpaduan dan ia mampu memperkukuh gabungan GRS di peringkat negeri," menurutnya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Semalam, Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mendedahkan cadangan untuk menggabungkan parti itu dan PBS dengan matlamat memperkukuh kedudukan politik masing-masing sebelum pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Semasa PRN Sabah ke-16 pada September 2020, PBS dan STAR masing-masing memenangi tujuh dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri. Sabah memiliki 73 kerusi DUN.
Selain PBS dan STAR, gabungan GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah, Parti Maju Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Parti Liberal Demokratik serta Parti Harapan Rakyat Sabah. - BERNAMA
#gabungan #PBS #STAR #joniston bangkuai
;