Langkah Dubai: Tindakan ke atas Raja Petra, polis rujuk Peguam Negara
Umavathi Ramayah
Januari 13, 2024 19:15 MYT
Januari 13, 2024 19:15 MYT
KUALA LUMPUR: Polis akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi menentukan tindakan ke atas penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin berhubung dakwaan terdapat gerakan ahli Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan yang dikenali sebagai Langkah di Dubai.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Astro AWANI hari ini memberitahu, pengasas dan penulis portal Malaysia Today itu kini berada di London.
"Raja Petra bukan sahaja diperlukan untuk siasatan kes ini, sebaliknya ada beberapa kertas siasatan yang dibuka terhadapnya sebelum ini.
"Selain Raja Petra beberapa individu lain juga akan dipanggil berhubung dakwaan (Langkah Dubai) itu," katanya,
Polis sebelum ini memaklumkan, sudah merakamkan keterangan empat individu berkaitan isu Langkah Dubai yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka adalah pempengaruh media sosial Badrul Hisham Shaharin atau Che’Gu Bard, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo serta ‘blogger’, Salim Iskandar.
Media melaporkan individu-individu itu dipanggil bagi membantu siasatan kerana mereka dipercayai menggunakan media sosial sebagai platform untuk berbicara mengenai isu berkenaan.