Langkah Dubai: Anwar nasihat Tun M jaga kesihatan
Bernama
Januari 5, 2024 15:32 MYT
Januari 5, 2024 15:32 MYT
KUALA LUMPUR: "Jaga kesihatan", itu pesanan ringkas Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya berhubung kenyataan terbaru pemimpin berusia 98 tahun itu berhubung isu kerajaan pintu belakang.
Perdana Menteri, yang enggan melayan perkara berkenaan, hanya menitipkan nasihat tersebut sambil tersenyum, selepas selesai merasmikan program Wacana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Dr Mahathir menolak dakwaan beliau terlibat dengan Langkah Dubai yang dikatakan bagi menjatuhkan kerajaan.
Sabtu lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin pembangkang termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Susulan itu, Anwar berkata beliau maklum mengenai Langkah Dubai namun baginya gerakan yang dikatakan untuk menjatuhkan Kerajaan Madani itu tidak langsung memberi kesan kepada pentadbirannya.
-- BERNAMA