Langkah bijak UMNO, Pas bersama Muhyiddin pada PRU15 - Syed Ali

Astro Awani
Julai 6, 2020 19:00 MYT
Syed Ali berkata, semua parti sudah sedar hanya gabungan Perikatan Nasional (PN) mampu membentuk kerajaan yang kuat dan memberi manfaat kepada orang Melayu. - Gambar fail
UMNO dan Pas mengambil langkah bijak apabila membuat keputusan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, ia petanda semua parti sudah sedar hanya gabungan Perikatan Nasional (PN) mampu membentuk kerajaan yang kuat dan memberi manfaat kepada orang Melayu.
"Malah ramai bersetuju dan menyambut baik pendirian UMNO dan Pas serta komponen Barisan Nasional (BN) yang menzahirkan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai calon perdana menteri pada PRU15.
"Suara akar umbi senada dan menyifatkan pendirian tersebut sebagai 'pemulihan politik' untuk terus meyakinkan Muhyiddin bahawa beliau telah membuktikan sebagai perdana menteri yang benar-benar bertanggungjawab membawa kesejahteraan untuk rakyat dan membina negara," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Isnin.
BACA: PN perlu segera cari formula agih kerusi PRU-15 - Rahim Tamby Chik
BACA: Muafakat Nasional: UMNO jangan hantar signal keliru kepada Pas - Tengku Putra
Bagaimanapun kata Syed Ali, ada beberapa pemimpin UMNO yang dikatakan kurang senang dengan pencalonan Muhyiddin kerana merasakan parti itu adalah 'juara' yang membolehkan kerajaan PN dibentuk selepas kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
"Sedangkan sejarah PRU14 semuanya hancur dalam sekelip mata. Saya berpendirian bahawa dalam apa juga perkara permuafakatan memilih calon perdana menteri, yang utama adalah bersandarkan kepentingan rakyat, bukannya kerana perasaan ego dan terbelit dengan masalah peribadi.
"Sejujurnya, Muhyiddin pada kaca mata rakyat hari ini adalah perdana menteri terbaik dan dekat di hati mereka. Malah mereka bersedia untuk menerima Muhyiddin sebagai perdana menteri kesembilan bagi meneruskan agenda memperkuatkan perpaduan Melayu, Islam dan negara.
"Saya yakin pemimpin tertinggi UMNO dan Pas yang menjadi sekutu politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerajaan PN telah membuat keputusan terbaik memilih Muhyiddin untuk masa depan Melayu," ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Ali berpendapat, tindakan Muhyiddin yang segera keluar daripada PH dan bergerak di bawah PN sehingga berjaya menubuhkan kerajaan, adalah langkah berani untuk 'menyelamatkan orang Melayu' daripada terus hilang kuasa.
"Memang ada yang mengkritik dan mengecam tindakan Muhyiddin, tetapi jika diamati secara tersurat, jelas Muhyiddin mengambil langkah tidak popular meninggalkan PH demi kelangsungan perjuangan Melayu dan perpaduan Islam.
"Hakikatnya Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri semasa pemerintahan 22 bulan itu juga tidak berasa selesa dengan cengkaman keterlaluan DAP sehingga bersetuju membuat rancangan sulit melalui satu perhimpunan Melayu. Itu juga sejarah yang tidak boleh dipadamkan.
"Kita perlu menerima hakikat DAP akan menggunakan pelbagai strategi termasuk memperalatkan pemimpin Melayu yang berkepentingan untuk memecah-belahkan perpaduan bangsa, seperti mereka berjaya lakukan selama 22 bulan membentuk kerajaan PH sebelum ini," tegasnya.
#Barisan Nasional #DAP #Islam #Mahathir Mohamad #Melayu #Muhyiddin Yassin #PAS #perhimpunan #perpaduan #PRU14 #UMNO
;