Laman web SPR tergendala sejurus pengumuman PM bubar parlimen
Afiezy Azaman
Oktober 10, 2022 16:37 MYT
Oktober 10, 2022 16:37 MYT
KUALA LUMPUR: Portal laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengalami gangguan atau tergendala sejurus selepas pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI setakat jam 4.24 petang di laman web berkenaan, ia hanya memaparkan notis ralat ‘502 Bad Gateway dan ‘The Page is Not Working’.
Malah pautan Semakan Daftar Pemilih (MySemak SPR) turut memaparkan notis yang sama sejak pengumuman pembubaran Parlimen jam 3 petang tadi namun telah pulih semula pada 4.30 petang.
Keadaan itu dipercayai berlaku kerana jumlah trafik yang tinggi untuk mengakses laman berkenaan untuk melakukan semakan daftar pemilih bagi memeriksa Kawasan mengundi masing-masing.
Pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu, berjumlah 21,113,234 orang.
Daripada jumlah itu, seramai 1,141,749 orang iaitu 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 tahun hingga 20 tahun, manakala baki 19,971,485 orang atau 94.6 peratus ialah pemilih berumur 21 tahun dan ke atas.
Susulan penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021, sudah menyaksikan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang yang mana 1.2 juta orang adalah terdiri daripada golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun.