Laksanakan dahulu daftar undi automatik - PKR Kelantan

Muhafandi Muhamad
Julai 7, 2018 13:28 MYT
Menurut Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir, pendaftaran secara automatik boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan kerana pada masa kini setiap pendaftaran baru dikenakan caj RM2.
PKR Kelantan mencadangkan supaya pendaftaran rakyat Malaysia yang menjangkau usia 21 tahun dan layak mengundi dilaksanakan secara automatik tanpa perlu mendaftar di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir, pendaftaran secara automatik boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan kerana pada masa kini setiap pendaftaran baru dikenakan caj RM2.
Katanya, memandangkan senario Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan lebih 4 juta pengundi yang boleh berdaftar sebagai pemilih, sudah sampai masanya kerajaan baru melaksanakan pendaftaran secara automatik tanpa menunggu pengundi untuk berdaftar sendiri.
"Kita minta bila cukup 21 tahun, automatik masuk dalam senarai... ramai sangat orang Melayu tak daftar kalau kena bayar RM2. Bayangkan RM4 juta, RM8 juta duit kerajaan rugi.
"Macam ada cadangan untuk (umur pengundi diturunkan) 18 tahun itu saya kurang setuju, biarlah laksanakan dahulu pendaftaran secara automatik, sekarang ini kita kena lantik ejen, pejabat pos lantik ejen dan dibayar oleh SPR," kata Abd Aziz.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis Aidilfitri bersama pengamal media di Kelantan malam tadi, Abd Aziz menjelaskan, pihaknya mendapati masih ramai kalangan anak muda Melayu tidak berdaftar sebagai pemilih.
Berhubung cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, Abd Aziz berpendapat cadangan tersebut dilihat tidak relevan buat masa ini.
Sementara itu, PKR Kelantan juga mengharapkan Perdana Menteri melantik seorang wakil senator menteri atau timbalan menteri mewakili negeri itu bagi menjadi penghubung antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
Ab Aziz berkata pihaknya tidak kisah mana-mana wakil dipilih daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) asalkan individu itu berasal daripada Kelantan.
"Kami percaya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi peluang kepada mana-mana pimpinan PH Kelantan untuk menganggotai Kabinet selepas ini," katanya.
Selain itu, PKR Kelantan juga akan turut meminta kerajaan pusat menyegerakan pelantikan jawatan politik di Kelantan termasuk penghulu, pegawai dan guru halaqah bagi mengisi kekosongan selepas pertukaran kerajaan persekutuan.
Abd Aziz menjelaskan, walaupun PH tidak menyumbang sebarang kerusi pada pilihan raya lalu dengan hanya dimenangi oleh Pas dan UMNO, kedua-duanya merupakan pembangkang, perjuangan untuk rakyat Kelantan termasuk melibatkan isu air, pembangunan dan sebagainya akan disuarakan kepada kerajaan Pas Kelantan.
Isu-isu melibatkan gejala sosial, pil kuda, kemiskinan akan terus diberi perhatian oleh PH di Kelantan.
#Abd Aziz Kadir #had umur #Kelantan #Pakatan Harapan #pengundi #PKR #PRU14 #Suruhanjaya Pilihan Raya #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
;