Laksana PRK Bugaya serentak dengan PRU15, jimat perbelanjaan - Shafie Apdal
Alexion Mairin
Oktober 9, 2022 16:07 MYT
Oktober 9, 2022 16:07 MYT
KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mencadangkan agar Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya serta Batu Sapi dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, langkah itu mampu mengurangkan beban negara daripada segi perbelanjaan untuk pilihan raya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Semporna itu menyerahkan segala keputusan tarikh berkaitan pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Ia terserah kepada SPR tetapi kalau diadakan serentak (dengan PRU15) itu lebih baik kerana mengurangkan perbelanjaan.
"Jika diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya dan Batu Sapi... tidak sampai 10 bulan lagi PRU15 diadakan.
"Sehubungan saya melihat adalah sebaiknya kalau itu dapat dilaksanakan dan penjimatan dapat dibuat. Dari segi undang-undang setelah diumumkan (penarikan darurat) perlu ada pilihan raya mengikut peraturan sedia ada," katanya.
Mohd Shafie berkata demikian ketika sidang media di Pejabat Parti Warisan pada Ahad sewaktu diajukan soalan berkaitan kesiap siagaan Warisan sekiranya PRK Bugaya dan Batu Sapi dilaksanakan serentak dengan PRU15.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis lalu berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya, yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020.
Kerusi Parlimen Batu Sapi dan DUN Bugaya kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong dan Allahyarham Datin Manis Muka Mohd Darah pada 2020.
Selain itu, Shafie berkata, Warisan sudah bersedia untuk jika PRK diadakan dalam waktu terdekat di DUN Bugaya dan Parlimen Batu Sapi.
Malah, pihaknya juga akan mengetengahkan calon muda untuk bertanding di dua kerusi itu.
Sementara itu, diminta reaksi mengenai kenyataan Naib Ketua Pemuda Pusat Parti Bersatu Sabah (PBS), Shahrun Nidzam Sharoom yang mula memberi respon positif bahawa kerjasama PBS dengan Warisan boleh dipertimbangkan, Mohd Shafie menyatakan parti itu sentiasa terbuka dan menyambut baik sekiranya PBS mahu menjalinkan kerjasama bersama Warisan.