Label Pas 'pelacur': Tugas Ku Li sepatutnya menasihat, bukan mencetus perbalahan - Sanusi
Abd Hadi Che Awang
Mac 16, 2021 11:31 MYT
Mac 16, 2021 11:31 MYT
ALOR SETAR: Tugas yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO sepatutnya digunakan bagi tujuan menasihati ahli-ahli parti berkenaan.
Ia terutama bagi proses memperkasa serta memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN), kata Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat Muhammad Sanusi Md Nor.
Jelasnya, tindakan Tengku Razaleigh atau Ku Li, yang melabelkan Pas sebagai 'pelacur' hanya akan mencetuskan permusuhan dan menggalakkan kebencian.
Menurutnya, sebagai pemimpin yang lebih berusia, Ku Li tidak sewajarnya mengeluarkan perkataan sedemikian dan Pas menganggap ia adalah pendapat peribadi serta tidak mewakili pendirian UMNO.
"Astagfirullahalazim. Orang tua-tua yang umur 80-an tidak patut bercakap bahasa macam itu. Pas tidak kenal pelacur. Yang kenal pelacur, adalah yang biasa melanggan pelacur.
"Saya fikir dia tidak mewakili UMNO. Dia sepatutnya menasihatkan UMNO, bukan mencetus perbalahan. Sebagai Penasihat UMNO, dia patut menasihatkan macamana MN dapat diperkukuhkan, persaudaraan dapat disuburkan.
"Kalau dia mencetuskan perkara yang boleh menggalakkan permusuhan dan kebencian, saya rasa dia tak layak jadi penasihat," kata Muhammad Sanusi.
Beliau turut menyifatkan Ku Li mempunyai agenda peribadi apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian iaitu ingin membina naratif baru dalam meraih sokongan untuk menawarkan diri bertanding bagi jawatan Presiden UMNO.
"Saya rasa Ku Li hendak bertanding Presiden UMNO. Dia (mahu) 'ambil angin' ahli-ahli UMNO. Dia hendak bina satu naratif baru di kalangan sebahagian (ahli) UMNO yang hendak menyokong dia menjadi Presiden," katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pelancaran Filem 'The Puppet Master-Trilogy' di Dewan Seri Mentaloon, di sini, malam tadi.
Ahad lalu, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan pihaknya tidak boleh membuat sebarang komen berhubung kenyataan Ku Li tersebut.
Ini kerana, katanya, ahli-ahli parti berkenaan tidak memahami apa sebenarnya istilah "pelacur" seperti yang dilabel pemimpin veteran UMNO berkenaan.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula menyifatkan tindakan Ku Li tersebut sebagai amat tidak wajar.
Katanya, sebarang kritikan perlu menggunakan saluran tepat memandangkan mesyuarat MN masih tetap diadakan setiap dua minggu sekali.
#Tengku Razaleigh Hamzah
#Tuan Ibrahim Tuan Man
#Takiyuddin Hassan
#UMNO
#PAS
#Muhammad Sanusi Md Nor
#Gua Musang
#Alor Setar
#politik
#Parlimen