Kunjungan Azmin terhadap Hadi tidak akan mengubah apa-apa - Penganalisis

Irwan Muhammad Zain
Mei 10, 2017 12:39 MYT
Penganalisis politik berpendapat, PKR sepatutnya memberi perhatian terhadap kerjasama dalam Pakatan Harapan berbanding hubungan dengan Pas.
Pas dijangka tidak akan berganjak dari keputusannya untuk memutuskan hubungan dengan PKR biarpun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu bertemu dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Penganalisis politik berpendapat, PKR sepatutnya memberi perhatian terhadap kerjasama dalam Pakatan Harapan berbanding hubungan dengan Pas.
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berpendapat, usaha PKR untuk terus berunding dengan Pas akan menjejaskan perancangan Pakatan Harapan terutama di Selangor.
"Sekiranya PKR masih mengharapkan kerjasama ini (dengan Pas), dia akan menganggu sikit perencanaan Pakatan Harapan dari segi menjelaskan perancangan Pakatan Harapan dari segi manifesto di Selangor," katanya kepada Astro AWANI.
Namun, Hisomuddin berpendapat, biarpun muktamar Pas ke-63 di Alor Setar baru-baru ini memutuskan kerjasama dengan PKR ditamatkan, parti Islam tidak akan menarik lantikan politik di Selangor.
"Sebenarnya, saya rasa Pas tidak akan menarik lantikan di Selangor kerana lantikan politik seperti jawatan di surau-surau dan masjid amat penting untuk Pas mengekalkan pengaruh di Selangor," katanya.
Hisomuddin berpendapat, kunjungan Azmin itu hanyalah untuk mendapatkan sokongan Abdul Hadi untuk kekal sebagai menteri besar Selangor.
#Hisomuddin Bakar #ILHAM Centre #Pakatan Harapan #PAS #PKR