Kungfu Mahathir adalah taichi bagi Azmin Ali - Salleh Said Keruak

Astro Awani
Mei 4, 2015 17:37 MYT
MOHD SALLEH: Azmin memusingkan serangan Mahathir tersebut seperti taichi dan menggunakan kata-kata bekas Perdana Menteri itu untuk mempengaruhi para pengundi. - Gambar Fail
Siri kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan memberi kelebihan kepada kempen PKR di Permatang Pauh, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Mohd. Salleh Said Keruak.
Dalam catatan terbaharunya melalui laman blog sskeruak.blogspot.com bertajuk 'Mahathir’s Kungfu is Azmin’s Taichi' (Kungfu Mahathir ialah taichi Azmin), Mohd Salleh mengulas tentang impak teguran Mahathir selama ini termasuk yang mengatakan bahawa UMNO bukan lagi parti kuat dan akan menerima kesan buruk dalam pilihan raya akan datang.
“Menteri Besar Selangor Azmin Ali menggunakan serangan terhadap Perdana Menteri ini untuk memberitahu para pengundi di Permatang Pauh bahawa Mahathir sendiri mengkritik UMNO maka pengundi perlu menolak parti itu dan memilih PKR.
“Azmin sedang memainkan peranan pintar dalam taichi. Dalam taichi, anda menggunakan daya serangan pihak lawan untuk menjatuhkan mereka,” ujar beliau.
BACA: Dr Mahathir dakwa pemimpin UMNO hari ini setia hanya kerana kontrak
BACA: Najib tentukan nasib UMNO - Tun M
BACA: Sebagai ahli UMNO, Dr Mahathir berhak bersuara - Muhyiddin
Jelasnya, Azmin ‘memusingkan’ serangan Mahathir tersebut seperti taichi dan menggunakan kata-kata bekas Perdana Menteri itu untuk mempengaruhi para pengundi.
“Inilah bahayanya apabila anda mengkritik parti anda sendiri. Pihak lawan akan menggunakannya semula bagi menentang anda,” kata Mohd Salleh sambil menjangkakan situasi itu sedang berlaku di Permatang Pauh.
#Najib Tun Razak #Permatang Pauh #Salleh Said Keruak #Tun Mahathir #UMNO
;