Tindakan anggota serpihan PAS menubuh parti baharu, Gerakan Harapan Baru (GHB) dilihat sebagai tindakan membalas dendam dan memberontak yang akhirnya akan memakan diri mereka, menurut pemerhati politik.

Tindakan bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu serta beberapa anggota PAS lain termasuk bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menubuhkan parti yang belum berdaftar itu, dianggap sebagai reaksi di atas kekalahan mereka pada pemilihan parti tersebut pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang diadakan di Kuala Selangor pada Jun lepas.

Penganalisis politik Prof Datuk Abdul Halim Sidek berkata: "Adakah dengan menubuhkan parti baharu ini, mereka yakin dan percaya mereka masih boleh mengekalkan sokongan dan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana ketokohan mereka sebelum ini lahir dengan bantuan PAS?"

Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan itu berkata, kumpulan yang marah dengan PAS akan berasa terpinggir daripada gelanggang politik sebenar menjelang musim PRU akan datang kerana sokongan terhadap mereka juga akan mula pudar.

Beliau berkata demikian mengulas penubuhan parti itu pada Isnin lepas, yang diketuai Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, bertujuan untuk menyatukan semula parti politik pembangkang di bawah naungan Pakatan Rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sealiran dengan ideologi mereka.

Abdul Halim berkata jika matlamat penubuhan parti baharu itu adalah untuk memperjuangkan Islam semata-mata, tindakan mereka hanya akan memecah-belahkan umat Islam yang akhirnya membuka ruang kepada musuh Islam.

"Dasar perjuangan dan hala tuju parti baharu ini tidak jelas, namun oleh kerana kita berada dalam sebuah negara demokrasi tidak salah untuk kita mengalu-alukan penubuhan parti ini kalau ia boleh memantapkan demokrasi dalam negara," katanya.

Sementara itu, veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub berkata penubuhan GHB hanya bersifat sementara dan parti itu akan terkubur dengan sendirinya selepas tidak lagi mendapat sokongan mana-mana pihak.

"Dalam suasana politik di Malaysia, masyarakat Melayu hanya mempunyai dua pilihan untuk berkecimpung dalam politik yang sebenar iaitu parti UMNO dan juga PAS," katanya.

Beliau berkata penubuhan GHB tidak akan bertahan lama kerana parti yang lahir atas dasar kecewa dengan parti induk, merupakan satu tindakan yang sia-sia.

Katanya GHB yang ditubuhkan selepas PAS membuat keputusan untuk tidak bersama lagi dalam pakatan pembangkang, hanya akan mengelirukan orang ramai dan menjurus ke arah kejatuhan pakatan pembangkang secara menyeluruh.

"Pakatan pembangkang wujud sebelum ini berdasarkan konsep tahaluf siyasi yang dimulakan oleh PAS, maka dengan terkeluarnya PAS, GHB tidak mampu menjadi pengganti kerana mereka tidak mempunyai asas perjuangan yang kukuh," katanya.