Kukuhkan Kerajaan Perpaduan demi laksana agenda rakyat - PM Anwar
Bernama
Julai 14, 2023 15:50 MYT
Julai 14, 2023 15:50 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kerajaan Perpaduan terus diperkukuhkan supaya dapat menjalankan kerja dengan baik demi rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata semua pihak dalam gabungan yang membentuk kerajaan Persekutuan ketika ini harus menggunakan pengaruh dan kuasa yang ada untuk menjaga kepentingan rakyat.
"Kita ada Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) yang baik (di Selangor), kita juga ada kerjasama yang baik dengan BN (Barisan Nasional) sekarang... jadi 29 (Julai) ini penamaan calon (Pilihan Raya Negeri), saya harap kita dapat perkuat Kerajaan Perpaduan.
"Ia kerana kita (Kerajaan Perpaduan) ada agenda untuk rakyat yang belum kita laksanakan," kata beliau dalam ucapan ringkas sewaktu meluangkan masa menikmati makan tengah hari di Gerai Makan Sri Ayu di Taman Sri Gombak di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar kemudiannya menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khairiyah Taman Sri Gombak seterusnya menyempurnakan pelancaran Program Makanan Percuma, satu inisiatif pengurusan masjid dalam membantu mereka yang memerlukan.
Menikmati makan tengah hari di warung sambil beramah mesra dengan pengunjung sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran menjadi rutin mingguan Anwar sejak dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Nov lepas.
-- BERNAMA