Kuatkan identiti supaya tidak wujud kerajaan gelap - Aktivis

Astro Awani
November 25, 2018 06:31 MYT
Budi berkata, menteri yang bertanggungjawab berhubung hal kebudayaan hanya dianggap sebagai menteri kelas kedua.
Agenda reformasi Malaysia wajar diteruskan dengan memberi penekanan kepada hal berkaitan identiti dan kebudayaan, menurut aktivis Budi Hikayat.
Katanya, 'kerajaan gelap' mungkin wujud apabila hal kebudayaan terus dipinggirkan.
Budi berkata, kerajaan Malaysia pada masa ini tidak mengambil berat mengenai hal kebudayaan dan identiti bangsa.
Beliau mendakwa, menteri yang dipertanggungjawabkan dengan hal ehwal kebudayaan selalunya dianggap sebagai menteri kelas kedua.
"Kerajaan gelap itu wujud kerana kita tidak ada kekuatan kebudayaan. Itu saya yakin daripada hari pertama saya melangkah dalam reformasi, sampai sekarang.
"Dan tidak pernah ambil berat tentang kebudayaan. Menteri-menteri yang diletak untuk jawatan itu kebanyakannya sekadar hendak mengisi portfolio.
"Mereka itu dianggap juga sebagai menteri second class berbanding menteri kewangan dan menteri yang lebih kanan," katanya ketika ditemubual dalam program Matluthfi@AstroAwani.com pada Sabtu.
Budi berkata, Malaysia perlu ada identiti yang jelas, khususnya menerusi kekuatan bahasa yang boleh menyatukan rakyat.
"Apabila rakyat sedar di saat politikus tak sedar, itu lebih bahaya," katanya sambil menambah, keadaan itu yang berlaku pada pilihan raya umum ke-14 lalu apabila "rakyat mendahului politikus".
#aktivis #bahasa #Budi Hikayat #identiti #kebudayaan #kerajaan #kerajaan gelap #menteri #menteri kelas kedua #pilihan raya umum #PRU14 #rakyat #reformasi