Kuat kuasa Akta Antilompat Parti segera, kembalikan keyakinan anak muda - Exco Perak

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 11, 2021 15:43 MYT
Menurut Khairul Shahril Mohamed, akta itu adalah langkah terbaik untuk menghentikan polemik politik yang sering timbul. - Gambar hiasan
PARIT: Akta Antilompat Parti perlu dikuatkuasakan segera bagi mengelakkan keyakinan golongan muda terhadap ahli politik terus terhakis.
Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, akta itu adalah langkah terbaik untuk menghentikan polemik politik yang sering timbul.
“Saya sebagai Exco Belia cukup khuatir dengan pandangan orang muda kepada suasana politik di Malaysia ini dan orang politik adalah antara golongan yang mereka rasakan golongan paling tidak berguna sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata, kelulusan akta itu merupakan langkah terbaik untuk mengembalikan keyakinan golongan muda terhadap kualiti politik negara.
"Saya secara peribadi saya amat tidak sabar untuk melihat Akta Antilompat Parti ini dikuatkuasa kerana inilah satu langkah untuk akhirnya kita dapat menghentikan polemik politik yang saya lihat cukup tak berpegang pada prinsipnya,” ujarnya.
Terdahulu, Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan agar ahli politik yang melompat parti sewajarnya digantung keahliannya daripada bertanding seumur hidup.
Ahli Parlimen Semporna itu menegaskan, pilihan raya pecat juga boleh diadakan, wakil rakyat yang melompat parti tidak harus dibenarkan bertanding semula.
Pada 13 September lalu, pihak kerajaan dan pembangkang menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik, yang antara lain menyatakan komitmen kedua-dua pihak untuk menguatkuasakan Akta Antilompat Parti.
#Akta Antilompat Parti #khairul shahril mohamed #landskap politik Malaysia #kepercayaan golongan muda
;