Kuasa kepetahan dalam politik
Elviza Michele Kamal
Oktober 4, 2016 14:11 MYT
Oktober 4, 2016 14:11 MYT
DI NUSANTARA ini, siapa yang tidak berdosa?
Saya mohon memetik tokoh Presiden Indonesia yang pertama: Soekarno. Kalau berpandu sejarah yang kafi, saya ingat dua dosa terbesar Soekarno terhadap Indonesia. Yang pertama adalah kerana dia menjual frasa “demokrasi terpimpin” kepada rakyat Indonesia bila yang sebenarnya dia merajakan kediktatoran dan autoritarian. Dia tak pernah percaya demokrasi seperti Sjahrir dan Hatta – cuma bezanya Sjahrir lantang membangkang manakala Hatta tipikal sang teknokrat kuat berfikir, lalu dia dikenang sebagai tunjang hebat tapi di belakang tabir.
Polosnya pentadbiran Soekarno telah menghantar Indonesia terpasung dalam kancah kebankrapan dan kebuluran sekitar pertengahan pertama 1960-an. Kudeta yang menumbangkan Soekarno pula telah membunuh hampir 400,000 nyawa. Kemudian Indonesia tenat kewangan lalu terpaksa bergantung dengan dana asing bertahun lama pasca orde lama.
Tapi Indonesia tidak pernah lupa budi Sang Proklamator. Kerana Soekarano, kerana Muhammad Hatta, Indonesia betah mengecap merdeka. Dan yang paling serasi bila kita mengenang Bung Karno, dia hebat berpidato.
Kehebatan Soekarno adalah apabila dia mampu meniup semangat nasionalisme bangsa Indonesia di ambang Perang Dunia Kedua. Kefasihan Soekarno berhujah tiada tolok banding. Generasi pemimpin selepas Soekarno tergapai-gapai cuba untuk setakuk dengan beliau, tapi gagal.
Di Barat juga begitu, Hitler sepanjang hidup beliau telah menulis sendiri lebih 5000 teks ucapan yang persuasif. Agenda politik Hitler yang menakutkan mendapat tempat di hati rakyat German hanya melalui kefasihan Hitler menyakinkan mereka melalui ucapan di corong-corong radio dan parlimen Reichstag. Hitler tetap kecundang dalam pentabdbiran, beliau dikenang sebagai diktator yang kejam bukan ketua negara yang progresif.
Dan tiada umat yang boleh lupa dengan kehebatan Sir Winston Churcill semasa Perang Dunia Kedua juga. Churchill, seperti Hitler, turut dikurniakan bakat yang besar dalam memanipulasi perkataan dan kuasa pidato. Detik-detik kritikal dalam pentadbiran Churchill apabila Britain terkepung keseorangan di laut dan di darat. Churchill telah menggembleng segala kudrat untuk menulis dan menyampaikan satu-satunya teks ucapan paling diingati dalam sejarah dunia moden. Presiden Kennedy menobatkan laungan perang Churchill sebagai, “He mobilised the English langugage and sent it into battle.” Tentera Bersekutu menang selepas enam tahun dalam peperangan.
Lantaran itu bahasa, kuasa berpidato memainkan peranan getir dalam mana-mana pentadbiran. Walaupun ia tidak menjamin sebuah pentadiran terbaik dari seseorang pemimpin, bahasa dan kefasihan bertutur boleh membangkitkan semangat, meniup inspirasi, menghidupkan empati dalam hati rakyat di bawah. Seperti mana yang telah dibuktikan oleh Soekarno, Hitler dan Churchill.
Tentu saja seseorang pemimpin yang efektif perlu punyai kepintaran berpolitik dan mentadbir lebih dari kepetahan bercakap, tapi jangan ambil mudah kesan penyampaian sesebuah ucapan yang baik.
Jadi saya memerhati dengan minda yang terbuka debat dalam media minggu lepas soal kefasihan Timbalan Perdana Menteri yang rengsa ketika berucap di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. Ada yang mengutuk; ada yang kata kefasihan itu soal nombor dua, yang wahid adalah pengisian atau intipati sesebuah ucapan.
Pengalaman menulis dan pembacaan saya punyai pendapat yang berbeza. Pengisian dan kelancaran penyampaian sama penting. Aksara dan ayat bila dicantum jadi perenggan perlu ditiup roh agar hidup menyala-nyala di telinga sang pendengar. Karya mana-mana ucapan politik boleh ditulis sempurna bila formula penyelidikan dan bakat menulis digabung, tapi jika penyampaiannya longgar maka tak sampai ke mana ucapan tersebut.
Kepetahan berucap mampu memberikan kelebihan kepada seseorang pemimpin di mana-mana pentas awam. Manakala politik kepetahan mampu membuka jalan kepada pemimpin ke arah politik persuasif. Selebihnya terpulang kepada pemimpin tersebut untuk mengangkat politik persuasif itu tadi ke tahap pentadbiran yang mampan.
Kesimpulannya begini – tidak kira dalam bahasa apa seseorang pemimpin itu memilih untuk bercakap – kefasihan dan intipati ucapan adalah kombinasi paling tegar untuk menang di hati rakyat. Dan sekiranya memilih untuk berbahasa Inggeris, lenggok penyampaian bahasa itu berbeza benar dari ucapan dalam bahasa Melayu. Tidak perlu berbunyi seperti Churchill hatta Obama, tetapi diksi, nahu dan sintaks perlu mantap agar tidak menganggu pendengaran khalayak.
Kefasihan berbahasa atau berucap itu bukan perkara paling penting - setakat itu saya setuju. Tapi kemampuan untuk menarik audiens mendengar dengan taksub – itu adalah langkah pertama untuk menambat keyakinan mereka. Kita tutup sembang hari ini dengan apa yang dikata oleh Mario M. Cuamo, “Kau berkempen dalam puisi, tetapi kau mentadbir dalam prosa.”
• Elviza masih menulis, dan sekarang sedang menguruskan sebuah badan bukan kerajaan, Better Nation Institute.
Kenyataan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI