Ku Li 'malu' UMNO sertai Majlis Presiden PN
Sinar Harian
Disember 24, 2020 20:44 MYT
Disember 24, 2020 20:44 MYT
KAJANG: Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa 'malu' dengan keputusan 'aneh' Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyertai Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN).
Tengku Razaleigh atau Ku Li yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang berkata, UMNO bukanlah ahli PN.
“Sebab dia bersetuju untuk menjadi ahli Majlis Presiden PN, saya merasa sedikit malu atau memandang (keputusan itu) sebagai agak aneh untuk dia menerima (menjadi ahli) di dalam Majlis Presiden (itu).
"Sebab UMNO bukan ahli PN. Dari mana datangnya UMNO? UMNO tak ada langsung (dalam hal ini),” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program bual bicara 'Minda Profesor Negara Mengenai Masa Depan Malaysia: Kemana Kita' di Pejabat Sekretariat Majlis Profesor Negara (MPN) di sini pada Khamis.
Ketika ditanya mengenai langkah UMNO seterusnya selepas kerajaan PN menang undian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat dan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau berkata, hanya Ahmad Zahid mempunyai jawapan berkenaan.
“Saya tak tahu (langkah UMNO seterusnya). Saya rasa awak (pemberita) perlu tanya Ahmad Zahid sebagai Presiden (UMNO) memberikan jawapan yang lebih jelas tentang soalan ini," katanya.
#Tengku Razaleigh Hamzah
#Zahid Hamidi
#Ku Li
#UMNO
#Pilihan Raya Umum ke-15
#PRU15
#rakyat
#Majlis Profesor Negara
#MPN