Ku Li dilantik Penasihat UMNO - Laporan
Sinar Harian
Mei 14, 2023 19:16 MYT
Mei 14, 2023 19:16 MYT
SHAH ALAM : Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai penasihat kepada parti berkenaan, menurut sumber.
Memetik laporan The Star, pelantikan Tengku Razaleigh dilakukan secara spontan untuk mengukuhkan UMNO.
"Pelantikan itu dibuat semasa mesyuarat antara kepimpinan tertinggi parti," kata sumber UMNO yang juga seorang pemimpin tertinggi yang enggan dikenali.
Difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani menghadiri taklimat khas bersama Presiden pada petang Ahad di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini, tewas di kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li yang bertanding di bawah BN memperoleh 21,663 undi.
Calon Perikatan Nasional, Mohd Azizi Abu Naim memenangi kerusi itu dengan 21,826 undi, perbezaan tipis 163.
Ku Li mula bertanding di Gua Musang pada 1974 ketika masih dikenali sebagai kawasan Ulu Kelantan. - Sinar Harian