Ku Li bakal kukuh kedudukan sebagai wakil rakyat paling lama

Bernama
April 28, 2018 05:15 MYT
Tengku Razaleigh diiringi kira-kira 1,000 penyokongnya di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang untuk menyerah borang pencalonannya pada Sabtu. --fotoBERNAMA
Tengku Razaleigh Hamzah bakal mengukuhkan statusnya sebagai wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini, selama 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri, jika memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li, yang berusia 81 tahun, akan mempertahankan kerusi itu yang pertama kali dimenanginya tanpa bertanding pada 1974. Kerusi itu sebelum ini dikenali sebagai Ulu Kelantan.
Bekas Menteri Kewangan itu menyertai UMNO pada 1962 dan mula bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Kelantan Barat pada 1969 dan berjaya menewaskan calon Pas, Hussin Abdullah.
Beliau kemudiannya beralih ke kerusi Parlimen pada 1974 dan sejak itu kekal sebagai wakil rakyat Gua Musang, termasuk ketika menubuhkan Semangat 46 pada 1989 selepas enggan menyertai semula UMNO Baru setelah UMNO dibubarkan oleh mahkamah.
Pada PRU13, beliau menewaskan calon Pas Wan Abd Rahim Wan Abdullah dengan majoriti 8,413 undi.
Bagi PRU14, Tengku Razaleigh menghadapi saingan tiga penjuru, menentang Abdullah Hussein (Pas) dan Mohd Nor Hussin (PKR-PPBM).
Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut diiktiraf antara wakil rakyat yang telah lama berkhidmat, dan setakat ini telah bertanding di tujuh kerusi Parlimen berbeza di Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Johor antara 1969 dan 2013.
Dalam tempoh tersebut, Kit Siang, 77, hanya tewas sekali iaitu di Parlimen Bukit Bendera pada 1999.
Pada pilihan raya kali ini, beliau akan mempertahankan kerusi Iskandar Puteri yang sebelum ini dikenali sebagai Gelang Patah dan akan melebarkan tempoh perkhidmatan sebagai wakil rakyat kepada 11 penggal jika memenanginya.
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak yang mula bertanding dalam pilihan raya ketika berusia 23 tahun pula menjadi wakil rakyat selama sembilan penggal untuk kerusi Parlimen Pekan dan DUN Bandar Pekan antara 1976 dan 2013.
Pada pilihan raya kali ini, Najib yang mewakili BN akan menghadapi saingan empat penjuru di Parlimen Pekan, menentang Zahid Mat Arip (PKR-PPBM), Ahiatudin Daud (PAS) dan Datuk Paduka Abd Kadir Sainudin (Bebas).
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kali terakhir bertanding pada pilihan raya pada 1999, sebelum itu telah lapan penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Beliau bermula sebagai anggota Parlimen Kota Star Selatan selama satu penggal pada 1964 dan kemudian sebagai anggota Parlimen Kubang Pasu di Kedah selama tujuh penggal berturut-turut bermula 1974 hingga 1999.
Dr Mahathir yang kini berusia 93 tahun, kembali ke pentas pilihan raya untuk bertanding di bawah tiket PKR di Parlimen Langkawi dan berdepan saingan tiga penjuru menentang Zubir Ahmad (Pas) dan penyandang kerusi tersebut Datuk Nawawi Ahmad (BN).
Dalam pada itu, antara calon lain yang telah lama berkhidmat sebagai wakil rakyat setakat ini termasuk Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah menyandang kerusi Parlimen Pagoh selama tujuh penggal sejak 1978.
Jika menang dalam persaingan tiga penjuru menentang Ahmad Nawfal Mahfodz (Pas) dan Ismail Mohamed (BN) pada pilihan raya kali ini, ia merupakan kejayaan lapan penggal di kerusi sama.
-- BERNAMA
#Ku Li #Lim Kit Siang #Mahathir Mohamad #MalaysiaMemilih #menang #Najib Razak #paling lama #Parlimen Gua Musang #Parlimen Iskandar Puteri #Parlimen Langkawi #Parlimen Pekan #PRU14 #Semangat 46 #Tengku Razaleigh Hamzah #Ulu Kelantan #UMNO #wakil rakyat
;